BINTULU, 23 Ogos: Peluang Sarawak membutir emas dan perak menerusi acara sepak takraw regu lelaki dan wanita terkubur hari ini susulan tewas kepada Selangor dan Perak masing-masing 2-0 pada pusingan separuh akhir serta penentuan gangsa hari ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi mengakui para pemain Sarawak telah berusaha sehabis baik sejak hari pertama hingga hari terkahir perlawanan.
“Kita dapat melihat hari ini (penentuan gangsa) pada awalnya pungutan mata pasukan lelaki mendahului pasukan lawan, tetapi disebabkan prestasi feeder kita menurun sekali gus memberi kesan kepada keseluruhan pasukan termasuk killer dan tekong,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan di antara tuan rumah menentang Selangor dan Perak di Stadium Muhibbah, Bintulu hari ini.
Malahan menurut Ismail, skuad wanita menyaksikan potensi untuk beraksi dan menyertai pasukan kebangsaan wanita.
“Selepas ini kami (persatuan) akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) untuk mengambil skuad wanita kita sebagai anak angkat MSNS bagi memantapkan lagi latihan pemain-pemain wanita.
“Program dan latihan skuad wanita kita memang dilaksanakan di bawah MSNS dan skuad lelaki di bawah persatuan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu skuad sepak takraw lelaki akan menggunakan khidmat dua pemain import dari Thailand untuk berentap di dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2024 yang bakal membuka tirai gelanggangnya pada 26 Ogos hingga 17 November depan di Dewan Bukit Serindit, Melaka,
STL musim ini akan dimulakan dengan STL Divisyen 1 dan akan terus menjelajah ke beberapa negeri terpilih termasuk di beberapa venue baharu pertarungan.
Untuk rekod, pasukan wanita Sarawak telah berjaya membawa pulang dua pingat perak untuk kategori berpasukan dan quadrant.
Manakala pasukan sepak takraw lelaki hanya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi kategori regu.