KUCHING, 24 Ogos: Kuching Heritage Lights yang bertempat di Waterfront Kuching bakal dianjurkan sebagai satu acara tahunan di Bandaraya Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara sedemikian memberi manfaat kepada pelbagai sektor kerana ia turut melibatkan kebudayaan tempatan.
Tambah beliau, kementeriannya juga akan turut membantu dalam bentuk peruntukkan bagi menjayakan acara tersebut.
“Saya melihat program seperti ini banyak dapat memberi manfaat terutama sekali kepada mereka yang dalam bidang keusahawanan.
“Saya melihat ini sebagai satu daripada acara yang boleh dilakukan, kalau dapat tiap-tiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kuching Heritage Lights dan Floral Festival 2024 di Pangkalan Sapi di sini, malam tadi.
Kuching Heritage Lights dan Floral Festival 2024 di Pangkalan Sapi dan di Tebingan Kuching telah bermula pada 22 sehingga 25 Ogos dari jam 8 hingga 10 malam.
Persekitaran tebingan sungai dan Pangkalan Sapi telah dihiasi dengan cahaya, keindahan bunga-bunga yang mekar serta landskap yang memukau. – TVS