KUCHING, 24 Ogos: Lagu rakyat Sarawak yang dimainkan di gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA) berperanan sebagai alat menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, elemen yang wujud secara semula jadi dalam lagu-lagu rakyat telah jelas memperlihatkan kebersamaan hidup harmoni antara satu sama lain khasnya di Sarawak.
Menurutnya, reaksi masyarakat yang pelbagai kaum dan budaya semasa lagu-lagu rakyat dimainkan menjadi lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan rakyat yang boleh dijadikan model terbaik masyarakat berbilang etnik yang ingin menikmati kemakmuran hidup bersama.
“Sarawak mempunyai lagu-lagu rakyat yang diminati, bukan sahaja rakyat sarawak tapi seluruh warga Malaysia kerana rentaknya begitu sesuai sekali.
“Saya dapat melihat lagu-lagu rakyat seperti ini kita dapat menghayati menari dan sebagainya dia boleh kita lihat sebagai satu cara untuk menyatu padu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Perasmian Kuching Heritage Lights dan Floral Festival 2024 di Pangkalan Sapi di sini, malam tadi.
Antara lagu rakyat yang sering dimainkan di gelanggang SUKMA sepanjang tempoh penganjurannya di Sarawak adalah Bekikis Bulu Betis, Anak Kampung dan lain-lain lagi. -TVS