MIRI, 24 Ogos: Bahang kemeriahan SUKMA Sarawak 2024 bukan sahaja dirasai para atlet, petugas kejohanan serta semua penyokong bahkan temasya sukan dwitahunan itu turut membawa limpahan rezeki kepada golongan usahawan tempatan.
Tinjauan TVS di perkarangan Stadium Tertutup Miri di sini menyaksikan golongan yang giat memasarkan produk tempatan dan hasil tangan masing-masing tidak menang tangan dengan sambutan luar biasa para pengunjung.
Menurut pekerja di salah sebuah gerai jualan, Ariana Brionnie, pihaknya tidak menyangka gerai mereka menjadi tumpuan ramai sepanjang temasya kali ini.
“Kedai kami diserbu pelanggan, terutama pelajar dan pengunjung dari jauh. Corndog dan ayam gunting kami laris dijual sehingga stok habis pada setiap malam. Keuntungan harian kami mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya.
Turut senada, pengusaha SM Ecofarm di Bakam, Mariana Murib sambil mengakui karnival jualan di tapak temasya merupakan lubuk emas golongan usahawan.
“Karnival ini memberi kami peluang untuk mempromosikan produk-produk kami yang terdiri daripada kraf tangan tradisional hingga buah-buahan tempatan seperti tarap dan durian,” ujarnya ketika ditemu bual TVS di sini hari ini.
Sementara, gerai makanan tradisional yang diusahakan oleh Rokiah Kadir sering mendapat pujian daripada para pengunjung terutama dari Semenanjung.
“Masakan ala kampung kami seperti umai dan tempoyak goreng mendapat pujian ramai. Pelanggan merasa seperti makan di rumah sendiri. Setiap hari, keuntungan kami sekitar RM1,500 hingga RM1,600,” jelasnya yang tidak menyangka air tangannya mendapat sambutan ramai di karnival ini. – TVS