LUNDU, 24 Ogos: Pemergian tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong yang terlibat dalam tragedi perahu karam di Batang Kayan, Lundu merupakan satu kehilangan yang amat dirasai warga sekolah berkenaan.
Sedih mengenang peristiwa berkenaan, Pengetua SMK Senibong, Rosimi Eron berkata, tiga mangsa itu merupakan pelajar berpotensi dalam akademik dan kokurikulum.
“Sungguh terasa akan kehilangan mereka, kerana ketiga-tiga pelajar ini berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam akademik dan kokurikulum.
“Malah boleh menaikkan nama sekolah kerana pernah mewakili sekolah sehingga ke peringkat bahagian,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian di tanah perkuburan Kampung Selampit, pada Jumaat.
Menceritakan detik awal kejadian, Rosimi berkata, dia dimaklumkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid kira-kira jam 6 pagi.
“Pada masa itu, saya tidak tahu jumlah sebenar penumpang tetapi yang saya tahu 12 pelajar kita selamat dan tiga lagi masih hilang,” katanya.
Menurutnya, ia merupakan kejadian pertama perahu tambang karam sejak puluhan tahun lalu.
Usaha mencari dan menyelamat dilaksanakan oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung dengan ketiga-tiga jasad mangsa ditemukan lemas pada Khamis.
Dalam kejadian pada Selasa itu, perahu tambang yang membawa 15 orang pelajar telah karam ketika menyeberangi sungai berkenaan dalam perjalanan menuju ke sekolah.
Seramai 12 orang terselamat manakala tiga pelajar yang dikenal pasti sebagai Alasma Jithil, 14, Helena Fasha Petrus, 16, dan Vilkie Wilson, 15, dilaporkan hilang. -TVS