MUKAH, 24 Ogos : Pasukan Wilayah Persekutuan berjaya merangkul pingat emas acara bola sepak lelaki SUKMA XXI selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mukah, petang tadi.
Jaringan pertama Wilayah Persekutuan pada minit ke-19 dicipta dengan rembatan padu Muhammad Harith Imran Hairee pada separuh masa pertama.
Sementara pada awal separuh masa kedua, Melaka tampil lebih agresif dengan serangan bertali arus, dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-53 menerusi gol yang dijaringkan oleh Mohamad Farish Ainun Aswadi, menyamakan kedudukan 1-1.
Namun, Wilayah Persekutuan tidak mengambil masa yang lama untuk kembali memimpin perlawanan dengan aksi Nu’man Hakim Abdul Rahman pada minit ke-67, Nu’man Hakim Abdul Rahman yang berjaya menyumbat gol kedua untuk Wilayah Persekutuan meskipun jaringan tersebut cuba diprotes oleh pasukan Melaka.
Namun, keputusan pengadil tetap kekal dengan pengesahan gol tersebut.
Perlawanan menjadi semakin tegang pada minit ke-71 apabila pemain Melaka, Mohd Haziq Zamri, dilayangkan kad merah selepas terlibat dalam insiden tolak-menolak dengan pemain Wilayah Persekutuan.
Dengan kelebihan seorang pemain, Wilayah Persekutuan bertahan dengan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kejayaan ini mengesahkan Wilayah Persekutuan sebagai juara bola sepak lelaki SUKMA XXI Sarawak 2024, sekali gus membawa pulang ‘ibu segala pingat’, iaitu pingat emas.
Sementara itu, Kelantan berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 8-7, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Penolong Ketua Jurulatih Wilayah Persekutuan Rashmizan Rasid, melahirkan rasa syukur atas kemenangan ini dan memberikan kredit penuh kepada para pemain.
“Alhamdulillah, kemenangan ini adalah hasil kerja keras semua pemain. Kesungguhan mereka dalam mematuhi perancangan dan strategi yang dirancang telah membuahkan hasil yang kita harapkan,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Mukah pada Sabtu.
Beliau juga mendedahkan bahawa pasukannya berjaya mengambil kesempatan atas kelemahan pasukan lawan, terutamanya selepas Melaka kehilangan seorang pemain pada minit ke-71.
“Kami mengubah strategi untuk mengambil kelebihan atas kesilapan yang berlaku pada pasukan lawan, dan Alhamdulillah, ia berhasil,” tambah beliau.
Sementara itu, Nu’man Hakim Abdul Rahman, penjaring gol kemenangan, turut berkongsi rasa syukurnya atas kejayaan ini.
“Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini. Gol tadi adalah rezeki untuk saya dan pasukan. Ini bukan pencapaian individu, tetapi hasil usaha seluruh pasukan,” ujar Nu’man.
Walaupun perlawanan berlangsung dalam suasana tegang, Nu’man memuji peranan jurulatih dalam menjaga emosi para pemain.
“Coach sangat membantu dari segi menjaga emosi kami, terutama ketika situasi di padang menjadi kelangkabut. Ini sangat penting untuk memastikan kami kekal fokus sehingga akhir perlawanan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Wilayah Persekutuan berjaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk merangkul emas dalam acara bola sepak lelaki SUKMA. – TVS