KUCHING, 25 Ogos: Kerajaan Sarawak tidak bercadang untuk membina stadium baharu sebagai persiapan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana stadium sedia ada mencukupi untuk menganjurkan acara sukan berskala besar.
Dewan Negara: Sarawak tawar RM350 juta untuk penganjuran Sukan SEA 2027 di wilayahnya
Jelas Abang Johari keputusan berkenaan juga dibuat kerana tidak semua acara akan dipertandingkan di Kuching, sama seperti Sukan Malaysia (SUKMA) yang berakhir semalam.
“Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sebahagian acara sukan akan diadakan di sini dan sebahagian lagi di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang sempena ulang tahun ke-100 Bank Standard Chartered di sini, hari ini.
Malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyempurnakan Majlis Penutup SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju agar Sarawak menjadi penganjur bersama bagi Sukan SEA 2027.
Mengulas lanjut mengenai peruntukkan untuk menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara itu, Abang Johari menjelaskan kosnya agak tinggi.
“Kita masih ada tiga tahun lagi, bajetnya memang besar tetapi kita akan berkongsi dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Abang Johari menambah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh.
Ketika Sidang Dewan Negara bulan lepas, Hannah memaklumkan Kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan peruntukan RM350 juta untuk menganjurkan separuh acara Sukan SEA 2027.
Jelas Hannah, kos berkenaan bersamaan 50 peratus bagi penganjuran 18 jenis acara Sukan SEA dan lapan jenis Sukan Para ASEAN. -TVS.