Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Thailand mempercepatkan pemulihan dan pembaikan rumah, hospital, sekolah, jalan raya dan infrastruktur yang rosak di seluruh negara, berikutan banjir yang menjejaskan 13 wilayah. Gambar bertarikh 24 Ogos 2024 menunjukan wilayah Phrae yang terjejas akibat banjir. Foto AFP

22 maut dalam banjir kilat, tanah runtuh di Thailand

ByBernama

BANGKOK, 26 Ogos: Dua puluh dua orang terbunuh dan 19 yang lain cedera dalam banjir kilat dan tanah runtuh yang disebabkan oleh monsun di seluruh Thailand yang menjejaskan lebih 30,900 isi rumah di 13 wilayah sejak 16 Ogos, kata pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha untuk mengalirkan air banjir yang disebabkan oleh hujan lebat monsun dan memberikan bantuan kepada baki 737 kampung yang terjejas di lima wilayah utara negara Asia Tenggara itu, kata Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana dalam satu kenyataan.

Agensi berkenaan juga mengingatkan penduduk di 31 wilayah di seluruh negara itu untuk berwaspada terhadap banjir kilat, aliran air hutan dan angin kencang hingga Khamis, sementara pegawai  diarah untuk memantau keadaan dengan teliti dan menyediakan pasukan tindak balas kecemasan dan jentera yang akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, kerajaan Thailand sedang mempercepatkan pemulihan dan pembaikan rumah, hospital, sekolah, jalan raya dan infrastruktur yang rosak di seluruh negara, berikutan banjir yang menjejaskan 13 wilayah.

Menteri yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri Thailand, Jakkapong Sangmanee berkata terdapat enam wilayah yang masih terjejas akibat banjir termasuk Chiang Rai, Phayao, Nan, Phrae, Phetchabun dan Sukhothai.

Beliau berkata agensi berkaitan mempercepatkan saliran air bagi mengurangkan paras air dan mengepam air banjir keluar dari kawasan rendah bagi mengelakkan pencemaran.

“Agensi berkaitan juga mempercepatkan kerja pemulihan dan pembaikan. Mereka menyediakan makanan dan air minuman, serta memperluas isyarat Internet untuk meliputi semua kawasan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengenai situasi banjir di Rumah Kerajaan di sini pada Isnin.

Jakkapong berkata Jabatan Meteorologi dan Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Kebangsaan meramalkan Thailand akan terus mengalami hujan berterusan sehingga akhir Ogos.

Beliau berkata menurut jabatan itu, peningkatan hujan dijangka di wilayah utara yang lebih tinggi, terutamanya di wilayah Chiang Rai, Phayao, Nan dan Phrae.

Jakkapong memberi amaran kepada orang ramai yang tinggal di wilayah timur, khususnya di wilayah Chanthaburi dan Trat dan di wilayah selatan Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun untuk terus berwaspada.

“Pada masa yang sama, kawasan yang berisiko hujan lebat pada September dan Oktober mesti dipantau secara berterusan, terutamanya kawasan yang mempunyai kelembapan tanah yang tinggi, seperti wilayah utara yang lebih tinggi dan wilayah Phuket untuk mengelakkan tanah runtuh.”

Agensi berkaitan diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan ribut, tambahnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan