SIBU, 26 Ogos: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandu melanggar besi penghadang jalan di Batu 6, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam tadi.
Komander Operasi, PBK II Terrance Jimbun berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima laporan berhubung kes itu jam 11.11 malam dengan menggerakkan 14 anggota ke lokasi kejadian.
“Kemalangan kendiri melibatan sebuah kenderaan Perodua Axia telah melanggar besi penghadang jalan, didapati seorang mangsa lelaki berada dalam kereta dengan keadaan tidak tersepit.
“Mangsa berusia 49 tahun mengalami luka di bahagian kepala dan patah tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak memotong terminal bateri dan membantu memasang cervical collar pada mangsa serta menggunakan strecher untuk mengeluarkan mangsa yang tidak tersepit.
“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan mangsa kemudian diserah kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – TVS