KUCHING, 26 Ogos: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak tahun ini berlangsung di Mukah dari 15 hingga 17 September ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata sambutan tersebut bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Menurutnya, sambutan dimulakan dengan seminar dan Majlis Mukah Berselawat yang diadakan di Masjid Setia Raja pada 15 September diikuti persediaan majlis doa selamat pada 16 September.
“Perhimpunan Maulidur Rasul di Padang Setia Raja pada 17 September, kita bercadang menjemput 200 kontinjen.
“Selepas perhimpunan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan amanat seterusnya perarakan sejauh 2.6 kilometer (km),” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak, hari ini bagi menjemputnya ke sambutan itu.
Misnu berkata pihaknya turut bercadang melibatkan masyarakat bukan beragama Islam bagi mengikuti pertandingan sepanduk yang dianjurkan semasa perarakan itu nanti.
Tambahnya, beliau menjangkakan perhimpunan itu bakal mendapat sambutan menggalakkan memandangkan ia diadakan pada musim cuti sekolah.
“Kalau di Kuching tahun lalu kita dapat mengumpul lebih 13,000 orang di Padang Merdeka dan di Mukah kita cuba mengumpul seramai yang boleh,” katanya. – TVS