SERIAN, 26 Ogos: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang selepas mengikuti bapanya membawa rombongan pendakian di Gunung Sipedang di sini semalam, ditemui selamat hari ini.
Difahamkan mangsa, Heirod Singgut terjatuh lalu pengsan menyebabkannya gagal menemui jalan keluar akibat hari semakin gelap.
Komander Operasi, PBK I Gilbert Majem berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 9.01 malam tadi dengan menggerakkan tujuh anggota ke lokasi kejadian.
“Pada jam 8 pagi bapa mangsa dan mangsa telah membawa satu rombongan untuk mendaki Gunung Sipedang. Pada jam 3 petang mangsa memberitahu bapanya untuk turun ke bawah gunung lebih awal kerana hendak bermain futsal.
“Pada jam 6 petang bapa mangsa sampai di rumah dan isterinya memaklumkan yang anak mereka belum balik kerumah dari pagi mangsa keluar bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran itu, katanya, bapa mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku kepada anaknya.
“Sejurus menerima laporan tersebut, pihak bomba bersama-sama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) memulakan operasi pencarian mangsa di kawasan sekitar.
“Mangsa berjaya ditemui dan dihantar balik oleh penduduk kampung Sungan pada jam 10.12 pagi tadi,” ujarnya.
Menurut mangsa, semasa dalam perjalanan balik, dia terjatuh lalu pengsan dan apabila sedar didapati keadaan sudah gelap menyebabkannya sukar untuk menemui jalan keluar.
Katanya, dengan berpandukan jalan sungai yang berjarak lebih kurang lima kilometer di Kampung Sungan, dia berjaya keluar dan meminta bantuan daripada orang kampung untuk menghantarnya balik ke Kampung Sejijaq.
Mangsa telah dihantar ke klinik Tebedu oleh pasukan EMRS untuk pemeriksaan lanjut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengsa dihentikan sebaik sahaja mangsa berjaya ditemui. – TVS