KUCHING, 26 Ogos: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu Affin Bank Berhad mengembangkan perkhidmatan dan rangkaian perbankannya ke seluruh Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata Tun Wan Junaidi juga menyeru pihaknya terus memberikan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di wilayah ini.
“Kami memaklumkan kepada beliau mengenai perancangan untuk menambah sebanyak lapan cawangan Affin di seluruh Sarawak dengan enam daripadanya di Kuching dan masing-masing dua di Bintulu serta Miri.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan cawangan Affin di Sarawak nanti sebanyak 14 cawangan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Turut hadir Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato Agil Natt, wakil Perbendaharaan Affin, Nazatusyima Bujang, Pengarah Urusan Pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Isman Ariffin serta Pengarah Wilayah Sarawak, Viktor Liew Wui Tak.
Menurutnya, selain pertambahan cawangan, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan perbankan mobil melalui pusat kewangan bergerak.
“Trak ini boleh dibesarkan kepada dua kaunter yang diurus oleh kakitangan dan menjadi cawangan lengkap tetapi bergerak,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya menyampaikan undangan kepada Tun Wan Junaidi untuk melawat ibu pejabat Affin di TRX Exchange, Kuala Lumpur bulan hadapan. – TVS