BAITULMUQADDIS (Palestin), 27 Ogos: Ketua-ketua gereja di Baitulmuqaddis pada Isnin menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap serangan berterusan Israel ke atas Gaza, sambil menyeru semua pihak agar segera mencapai persetujuan untuk gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu (AA).
Patriark dan Ketua-ketua Gereja di Baitulmuqaddis dalam satu kenyataan memaklumkan walaupun terdapat gesaan berulang kali untuk gencatan senjata dan meredakan ketegangan, “situasi di Tanah Suci yang dikasihi (Palestin) terus merosot.”
“Jutaan pelarian kekal kehilangan tempat tinggal, rumah mereka tidak dapat diakses, musnah atau tidak dapat dibaiki. Ratusan orang yang tidak bersalah terbunuh atau cedera parah setiap minggu akibat serangan sembarangan. Tidak terkira yang lain terus menanggung kelaparan, dahaga dan penyakit berjangkit,” menurut kenyataan itu.
Mengulas mengenai rundingan gencatan senjata di Gaza, Patriark dan Ketua-ketua Gereja di Baitulmuqaddis mendakwa pemimpin pihak yang bertelagah “seolah-olah lebih mementingkan pertimbangan politik daripada menghentikan pembunuhan dan kehancuran.”
Ketua-ketua gereja itu menggesa “pihak bertelagah untuk mendengar seruan mereka dan masyarakat antarabangsa (Resolusi 2735 Majlis Keselamatan PBB) untuk mencapai persetujuan segera bagi gencatan senjata” yang boleh menamatkan perang, membebaskan semua tawanan, dan mengembalikan penduduk kehilangan tempat tinggal ke rumah dan kawasan mereka.
Pada Khamis, rundingan gencatan senjata Gaza antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas disambung semula di ibu negara Mesir, Kaherah.
Selama beberapa bulan, Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir telah berusaha untuk mencapai persetujuan antara Israel dan Hamas untuk memastikan pertukaran tawanan dan gencatan senjata serta membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
Namun, usaha pengantaraan telah terhenti akibat keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk memenuhi desakan Hamas bagi menghentikan perang.
Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktpber lepas, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyeru gencatan senjata segera.
Serangan itu telah mengakibatkan lebih 40,400 kematian rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 93,500 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Sekatan yang berterusan ke atas Gaza telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, meninggalkan banyak kawasan di wilayah itu dalam keadaan musnah. -TVS.