BETONG, 27 Ogos: Penduduk rumah Joseph Bobby, Buloh Antu di sini, terputus hubungan dengan kawasan lain selepas jalan raya menghubungi kawasan itu dinaiki air pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.20 pagi dengan menggerakkan enam anggota melakukan pemantauan di lokasi kejadian.
“Hasil pemantauan yang dilakukan didapati tiada kenderaan yang boleh melalui kawasan banjir tersebut.
“Banjir itu telah menjejaskan pergerakan seramai 25 keluarga Rumah Panjang Buloh Antu dengan paras air didapati semakin meningkat ketika pemantauan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hujan lebat berterusan bermula petang semalam telah menyebabkan paras air Sungai Padeh meningkat dan melimpah ke kawasan jalan raya utama menuju ke rumah panjang berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan mangsa banjir dibuka setakat ini dengan semua petugas APM Betong masih memantau situasi itu dari semasa ke semasa.
“Kita menasihatkan penduduk Buloh Antu dan dari rumah panjang yang berdekatan untuk segera menghubungi APM di talian 083-472861 jika penempatan mereka dilanda banjir bagi tujuan tindakan susulan,” katanya.- TVS