KUCHING, 27 Ogos: PTTEP Sarawak Oil Limited menjadi syarikat pertama yang menyerahkan laporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau), 2023.
Kenyataan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) hari ini memaklumkan penyerahan laporan pelepasan GHG yang dimandatkan oleh Ordinan berkenaan menggariskan keberkesanan rangka kerja pengawal seliaan Sarawak untuk memastikan akauntabiliti dan pengawasan alam sekitar dalam sektor tenaga dan minyak dan gas.
“Penyerahan ini menandakan langkah penting menuju pematuhan dan ketelusan dalam amalan alam sekitar dalam industri tenaga dan minyak dan gas Sarawak.
“Kerajaan Sarawak tetap komited dalam memajukan pembangunan mampan dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” catat kenyataan terbabit.
Turut dinayatakan penyerahan itu merupakan pencapaian yang signifikan kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dalam usaha mengawal selia dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Ordinan ini berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 yang mewajibkan entiti perniagaan dalam sektor tenaga serta minyak dan gas untuk mendaftar dengan NREB dan menyerahkan laporan pelepasan GHG selewat-lewatnya pada 28 Ogos 2024.-TVS