BINTULU, 28 Ogos: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu kemalangan kendiri di Jalan Bintulu – Tanjung Kidurong di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, Hospital Bintulu yang tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa memandu berseorangan dari arah Sungai Plan hendak ke rumahnya di Bandar Jaya.
“Apabila sampai di lokasi kejadian semasa kenderaan sedang bergerak lurus, tiba-tiba pemandu tersebut hilang kawalan kenderaan yang dipandu.
“Kereta tersebut seterusnya terbabas ke kawasan pembahagi jalan dan terlanggar pokok yang ada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau nampak berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes,Inspektor Pung Ting Khang, Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-TVS