PUTRAJAYA, 28 Ogos: Pelabuhan Bintulu dijangka diambil alih sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan pada Disember depan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jangkaan tempoh itu menurut Uggah dikemukakan beliau semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri di sini, pada Isnin lepas.
Menurut Uggah, mesyuarat itu bertujuan untuk menangani sebarang isu tertunggak serta memastikan peralihan Pelabuhan Bintulu kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) berjalan dengan lancar menjelang akhir tahun ini.
Terdahulu, mesyuarat berkenaan dipengerusikan beliau bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Mengelas lanjut, mesyuarat itu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, yang menggariskan peralihan Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri.
Untuk rekod, ini merupakan mesyuarat pertama yang diadakan oleh Jawatankuasa Bersama itu sejak diluluskan di Parlimen pada 17 Julai 2024, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024.
Difahamkan kerajaan negeri dalam usaha untuk menggubal rang undang-undang baharu bagi mengawal selia Pelabuhan Bintulu. Akta Pelabuhan Bintulu 1981 sedia ada akan dimansuhkan. – TVS