KUALA LUMPUR, 29 Ogos: Penyanyi terkenal Bollywood, Arijit Singh bakal membuat kemunculan dalam konsert istimewa dikenali ‘Arijit Singh Live in Malaysia’ yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Axiata Arena Bukit Jalil.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Group, Rohit Rampal berkata, konsert tersebut dijayakan dengan kerjasama Hitman Solutions dan Cinestar Events Australia.
“Pada 2013, Temptations Reloaded membawa kami ke Kuala Lumpur dan pada masa itu Arijit masih baharu, mungkin ada lima atau enam lagu.
“Arijit kemudiannya menjadi penyanyi sangat popular sebaris penghibur lama. Kita bakal menyaksikan ramai artis membuat persembahan di Kuala Lumpur dan ini adalah persembahan pertama Arijit di Malaysia,” kata Rohit.
Malah menurutnya, Airijit diiktiraf sebagai artis yang mempunyai ramai pengikut peringkat global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.
“Arijit adalah salah seorang artis Spotify paling diikuti di dunia. Baru-baru ini saya melihat berita dan dia adalah penyanyi nombor satu,” ujarnya.
Beliau berharap peminat Arijit memenuhi setiang ruang di Axiata Arena bagi menyaksikan sensasi Bollywoord tersebut dengan himpunan lagu terkini dan persembahan bertenaga.-TVS