TAIWAN, Ogos: Malaysia kini menduduki tangga ke-11 sebagai destinasi pilihan bagi warga Taiwan setakat 2023 hingga kini, kata Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Aznifah Ghani.
Menurutnya direkodkan juga kira-kira 30,000 warga Malaysia menetap di Taiwan, atas pelbagai faktor seperti pekerjaan dan pendidikan.
“Pertukaran perjalanan antara rakyat kedua negara sudah wujud sejak sebelum tahun 1970 lagi, namun dalam dekad kebelakangan ini, kita boleh melihat satu trend yang besar dari segi pergi balik dalam kalangan warga Malaysia dan Taiwan. Ini didorong oleh faktor perniagaan, pendidikan dan juga pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Pelancaran ‘Jom Taiwan’ di Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Turut hadir, Duta Salam Taiwan, Nabila Razali, Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Aznifah Ghani, Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Hafiz Hazin serta Pengarah Perdagangan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia Aninawati Saleh.
Hadir sama Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Huang Yi-Chen dan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Chou Ting Chang.
Aznifah dalam pada itu mendedahkan berhubung sektor pelancongan pula, dilihat terdapat ketidakseimbangan daripada segi kedatangan pelancong Malaysia ke Taiwan berbanding pelancong Taiwan ke Malaysia ketika ini.
Sehubungan itu katanya kedua-dua pihak kini giat melaksanakan beberapa strategi bagi menggalakkan kehadiran pelancong Taiwan berkunjung ke Malaysia.
“Malaysia bukanlah sebuah negara yang asing bagi warga Taiwan kerana kedua negara memiliki budaya, bahasa serta makanan yang serupa. Perkara itu berupaya menarik pelancong Taiwan ke Malaysia kerana ia adalah mudah untuk mereka menyesuaikan diri,” jelasnya.
Menurut Aznifah lagi pihaknya komited untuk mewujudkan strategi yang lebih intensif untuk menarik lebih ramai pelancong dari Taiwan dan yakin mampu meletakkan Malaysia dalam kedudukan 10 teratas destinasi pilihan penduduk Taiwan.
Terdahulu, majlis menyaksikan seramai 40 pengamal media dari seluruh Malaysia diterbangkan ke Taipei untuk merasai pengalaman program pelancongan ‘Jom Taiwan’.
‘Jom Taiwan’ merupakan sebuah program inisiatif Biro Pelacongan Taiwan yang memfokuskan promosi pelacongan mesra Muslim, untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia, terutama mereka yang beragama Islam.- TVS