Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kesihatan Palestin, Majed Abu Ramadan, mengumumkan pada Jumaat bahawa kempen pemvaksinan polio untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun akan bermula di Gaza pada Ahad ini. Foto fail AFP

Kempen pemvaksinan polio di Gaza bermula Ahad ini

ByBernama

BANDARAYA GAZA, 30 Ogos: Menteri Kesihatan Palestin, Majed Abu Ramadan, mengumumkan pada Jumaat bahawa kempen pemvaksinan polio untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun akan bermula di Gaza pada Ahad ini.

Agensi Anadolu melaporkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ramadan bahawa kempen itu akan bermula pada 1 September di Daerah Deir al-Balah di tengah Gaza dan akan berlangsung sehingga 4 September.

Ia akan bergerak ke Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza dari 5 hingga 9 September, sebelum berakhir di sini dan bahagian utara semenanjung itu dari 9 hingga 12 September.

Menteri itu menekankan bahawa peralatan pemvaksinan akan diangkut antara kawasan mengikut jadual dan memberi jaminan bahawa vaksin berkenaan adalah selamat sepenuhnya.

Beliau menggesa penduduk Gaza untuk membawa anak-anak mereka untuk pemvaksinan dan mengabaikan sebarang maklumat palsu yang disebarkan oleh tentera Israel.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan peta dan menghantar mesej teks untuk memaklumkan penduduk Gaza mengenai lokasi dan jadual pemvaksinan, menurut laporan itu.

Pada Khamis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan komitmen awal untuk gencatan senjata kemanusiaan di kawasan tertentu semasa kempen pemvaksinan polio.

Rik Peeperkorn, wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki, menekankan keperluan untuk mencapai liputan pemvaksinan sebanyak 90 peratus bagi mencegah penyebaran penyakit. Beliau juga berkata bahawa kempen ini akan dijalankan dalam dua fasa, tetapi tiada tarikh khusus yang diberikan.

Perjanjian dengan Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) tentera Israel termasuk gencatan senjata selama tiga hari di tengah Gaza, diikuti dengan gencatan senjata serupa di kawasan selatan dan utara.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyeru gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari untuk melaksanakan kempen pemvaksinan bagi 640,000 kanak-kanak, satu seruan yang disokong oleh Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Seruan itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan Palestin mengenai kes polio pertama yang disahkan di Gaza, iaitu seorang kanak-kanak berusia 10 bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan