MIRI, 31 Ogos: Miri RC Boat Fun Race 2024 kembali menggegarkan perairan Kolam Remote Senadin Miri dengan penyertaan luar biasa melibatkan 36 pasukan dan 382 bot yang berdaftar dalam tujuh kategori perlumbaan.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penyertaan luar biasa tersebut membuktikan perlumbaan tersebut mempunyai peminatnya yang tersendiri.
“Saya rasa gembira melihat aktiviti ini dihidupkan semula atas usaha sebuah syarikat Rezzkie Resources dan saya memang kagum melihat begitu ramai orang masih berminat dengan RC Boat Race ini khususnya sahabat kita dari Brunei Darussalam.
“Kita berusaha memperbaiki dan meningkatkan kemudahan di sini supaya pada masa akan datang perlumbaan seperti ini dapat dilangsung pada setiap hujung minggu,” katanya.
Sementara itu, wakil Kelab Boat RC Miri, Keroana Johny Weiss berkata, penganjuran perlumbaan tersebut adalah untuk mengumpul dana bagi menubuhkan Kelab RC Miri Legacy.
“Dana terkumpul akan digunakan untuk membangunkan kemudahan dan infrastruktur diperlukan supaya dapat terus maju dalam sukan ini,” ujarnya.
Menurutnya, perlumbaan tersebut mampu menjadi platform mengukuhkan perpaduan dalam kalangan peserta.
“Perlumbaan ini juga dapat mengasah kemahiran dan strategi sekali gus sebagai persediaan untuk terlibat dalam saingan peringkat antarabangsa kelak,” jelasnya.
Perlumbaan tersebut berlangsung tiga hari bermula Jumaat dan menjadi medan persaingan bagi peminat bot kawalan jauh.-TVS