Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penduduk Kampung Pabahanan yang memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan. Foto TVS

Tragedi berdarah pemberontakan 1962 didik penduduk erti sebenar merdeka

LIMBANG, 31 Ogos: Kesengsaraan, ketakutan dan hidup tidak cukup makan yang dilalui seorang penduduk, Samat Sabli 71, ketika melalui keperitan era pemberontakan di Limbang 62 tahun lalu mengajarnya menghargai erti sebenar kemerdekaan.

Beliau dari Kampung Pabahanan Limbang ketika berkongsi detik hitam itu menjelaskan Limbang dihujani kehadiran kapal British yang datang melalui perairan Laut Limbang untuk membantu menghentikan pemberontakan yang berlaku, ketika beliau masih kanak-kanak kecil iaitu berusia 12 tahun.

Jelasnya tragedi berdarah yang tercetus pada tanggal 8 hingga 12 Disember 1962 menjadi titik sejarah bukan sahaja kepada lebih 40,000 penduduk Limbang tetapi juga seluruh rakyat Sarawak.

Tarikh keramat itu akan sentiasa subur dan dingati dalam lipatan sejarah bagi memperingati perjuangan pejuang yang terkorban semasa menentang penjajah.

Seramai empat polis Sarawak dan 42 Komando Royal Marin British terkorban dalam satu pemberontakan yang berlaku pada tarikh keramat itu.

Mereka yang terkorban adalah Kim Huat, Bujang Mohamed, Insoll Chundang, Wan Jamaluddin Taunku Alen serta 42 Komando Royal Marin British.

“Ketika itu kami memang sengsara, hendak turun ke bandar pun takut, terpaksa meneruskan kehidupan sendiri dan bersembunyi di kampung.

“Pemberontak ketika itu giat mencari penduduk yang mempunyai senjata untuk direkrut ke dalam kumpulan mereka,” kongsinya kepada media pada Sambutan Hari Kebangsaan Kampung Pabahanan hari ini.

Rohani Nawi,40-an pula menjelaskan bulan kemerdekaan memberi satu persektif yang manis dan memberi limpahan rezeki kepada tukang jahit sepertinya apabila menerima 20 tempahan baju merdeka untuk dijahit tahun ini.

Katanya, walaupun terpaksa bersengkang mata hingga ke Subuh menyiapkan tempahan, beliau tidak pernah mengeluh sebaliknya menganggap bulan kemerdekaan sebagai lubuk rezeki berlipat kali ganda selain Hari Raya Aidilfitri.

“Tahun ini saya menerima tempahan menjahit baju merdeka tahap satu dan tahap dua sebanyak 20 pasang, walaupun terpaksa berjaga sampai 2 pagi, tetapi saya tidak kisah ini namanya semangat merdeka,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pabahanan Fariyana Ajmain menyifatkan Program Sambutan Hari Kebangsaan Kampung Pabahanan setiap tahun adalah satu program wajib yang diadakan di kampungnya.

Program itu katanya memberi impak besar dalam menyemai semangat kemerdekaan dan cintakan negara khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pelbagai program diadakan termasuk pertandingan reka cipta merdeka, masakan, motosikal perlahan merdeka, mewarna dan aktiviti konvoi merdeka mengelilingi kampung.

“Program sebegini diadakan untuk memperingati pengorbanan pejuang terdahulu dan menyemai semangat cintakan negara untuk generasi muda sejajar dengan tema pada tahun ini iaitu Malaysia Madani, Jiwa Merdeka,” katanya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan