Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata reformasi ideologi parti itu telah membawa kemakmuran kepada Sarawak. Foto: Tan Sri Dr George Chan Hong Nam

Hari Malaysia: Reformasi SUPP untuk kemakmuran rakyat Sarawak

ByAmirah Shawel

KUCHING, 1 Sept: Pelaksanaan reformasi ideologi dan kebangkitan politik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ternyata berjaya diterjemahkan dalam sumbangannya kepada kemakmuran Bumi Kenyalang sehingga ke hari ini.

Parti politik yang ditubuhkan pada 1959 itu pada awalnya merupakan parti sayap kiri dan berpegang kepada semangat nasionalisme.

Bekas Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam berkata, ketika itu masih ramai individu berada di bawah pengaruh ideologi Komunis termasuk ahli-ahli SUPP.

“Selepas kemerdekaan masih ramai dipengaruhi (ideologi) Komunis di Sarawak, mereka dikenali sebagai the underground. Mereka menyertai SUPP (kerana parti sayap kiri),” katanya ketika ditemui TVS.

Tan Sri Dr George Chan Hong Nam disambut pulang oleh penyokongnya setibanya di Lapangan Terbang Miri setelah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri. Foto: Miri Book by Sarawak Government

Bagaimanapun, berikutan peristiwa hitam, insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan krisis ancaman komunis yang membawa kepada penahanan dan penangkapan orang awam, parti itu bersetuju membentuk kerajaan campuran untuk menstabilkan keadaan.

Parti tersebut mengambil keputusan untuk merombak fahaman parti dan menuju ke arah sentrisme pada 1970 demi kepentingan bersama.

SUPP juga pada masa sama berpendapat fahaman komunis adalah tidak sebati dengan budaya masyarakat wilayah ini.

“Keadaan berubah, di Singapura, di Malaysia. Masyarakat juga mula merasakan fahaman Komunis tidak sesuai untuk rakyat Sarawak terutama mereka di pedalaman,” ujarnya.

Beliau menambah, SUPP juga awalnya merupakan sebuah parti politik yang berbilang kaum.

Sehubungan itu, parti berkenaan mula melihat kepentingan penyatuan masyarakat bagi membentuk sebuah wilayah yang makmur.

“SUPP bukan parti kaum Cina tetapi parti berbilang kaum. Disebabkan itu, parti ini melihat pentingnya kesepakatan dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Rasional kami ialah sekiranya Sarawak ingin maju dan makmur, kita harus bersatu dan kerana itu SUPP berjaya meneutralkan gerakan sayap kiri dan menjadi lebih tengah kanan (konservatif),” katanya.

Beliau berkata keputusan itu menjadi satu rahmat buat SUPP kerana parti itu kini berpeluang mencurahkan bakti kepada pembangunan tanah air.

Untuk rekod, SUPP merupakan parti tempatan tertua dan yang pertama ditubuhkan di Sarawak.

Parti itu ditubuhkan oleh Ong Kee Hui pada 4 Jun 1959 bagi memperjuang kepentingan pembangunan Sarawak pada ketika itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan