KUCHING, 2 Sept: Sembilan belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri Jepak terpilih mengikuti program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program tajaan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini merupakan wadah serta usaha memperkasa golongan belia dengan kemahiran secara holistik bagi menyediakan mereka pasaran pekerjaan di masa hadapan.
“Untuk fasa pertama program ini, kami menghantar seramai sembilan orang pelatih baharu yang terdiri daripada golongan B40, kerana ini merupakan golongan yang kami fokuskan.
“Saya turut menyeru kepada golongan belia di luar sana untuk mempertingkatkan diri dengan kemahiran dan jangan mengharapkan kepada kelulusan SPM sahaja kerana dengan kemahiran yang disatukan dengan keupayaan akademik, mereka boleh mengorak langkah lebih jauh lagi dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Pelatih DUN Jepak bagi Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia tajaan MIETD dan CIDB Malaysia di sini, hari ini.
Sembilan pelatih baharu ini akan mengikuti kursus kemahiran penyaman udara dan pengudaraan mekanikal.
Hadir sama Pengarah CIDB Sarawak, Rosmen Ag Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia, Abdul Rahman Ahmad. – TVS