KUCHING, 3 Sept: Kerajaan kini sedang dalam perancangan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku terutamanya di kawasan penempatan yang berhampiran sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, kerajaan sememangnya mempunyai perancangan bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.
“Saya tidak dapat ulas lanjut. Hal tersebut kita serahkan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membuat keputusan kelak.
“Untuk sekarang, kita sedang memfokuskan kepada projek tebatan banjir fasa dua yang kini sedang dalam pelaksanaan,” katanya ketika ditanya mengenai perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada mangsa rumah runtuh di Kampung Kudei Lama Tengah di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan adanya projek tebatan banjir itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan berlakunya banjir besar seperti yang pernah berlaku pada tahun 2014 dulu.
“Saya sentiasa turun padang bagi melihat sendiri apa yang berlaku di kawasan sekitar ini. Banjir memang ada berlaku, tetapi tidak seteruk banjir tahun 2014 yang merupakan banjir yang sangat besar sekali pada ketika itu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 memberitahu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM11.8 billion bagi membiayai sebanyak 33 projek tebatan banjir berimpak tinggi jangka panjang termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RBT) Kuching Fasa Dua. – TVS