Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian daripada 33 suspek kes kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai RM2.1 juta dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi permohonan reman. Foto TVS

3 doktor, 29 orang awam direman SPRM kes tuntutan palsu PERKESO

GEORGE TOWN, 4 Sept: Tiga doktor ortopedik antara 33 individu yang direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai RM2.1 juta sejak 2017.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membenarkan doktor kanan lelaki berusia 36, 50 dan 57 tahun itu direman selama dua hari selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seramai 29 suspek lelaki yang merupakan pekerja swasta, ejen dan ‘runner’ direman tiga hari, manakala seorang wanita yang juga isteri salah seorang ejen dibenarkan direman selama sehari.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek berusia 26 hingga 60 tahun yang berpakaian lokap SPRM dibawa ke kompleks mahkamah dengan lima buah kenderaan SPRM kira-kira pukul 9 pagi.

Sumber SPRM berkata, kesemua suspek ditahan menerusi operasi selama kira-kira 16 jam yang bermula pukul 5 pagi semalam di sekitar negeri ini.

“Berdasarkan siasatan, tuntutan palsu dibuat berkaitan kecederaan ligamen krusiat depan (ACL) dan tulang rawan tergelincir atau ‘slip disc’ yang berjumlah RM2.1 juta.

“Kartel dipercayai aktif menjalankan pemalsuan itu sejak 2017 hingga kini,” katanya hari ini.

Ujar beliau, pemohon dikatakan akan menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan, manakala sebahagian lagi dibahagi antara doktor, ejen dan runner.

Sementara itu, difahamkan doktor berkenaan bertugas di Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam dan sebuah hospital swasta di Butterworth. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan