MIRI, 4 Sept: Persidangan Penyelidikan Komuniti dan Kelangsungan Globesync (Globescores 2024) selama dua hari berakhir hari ini berjaya menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri dan pembuat dasar antarabangsa untuk membincangkan aspek kelestarian masa hadapan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, forum berkenaan juga selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap inisiatif kelestarian.
“Ia menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan, menggalakkan kerjasama dan seterusnya memberi inspirasi untuk bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena persidangan berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin University Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng.
Bertemakan Merapatkan Jurang, Membina Masa Hadapan: Strategi Integratif untuk Pembangunan Mampan, forum anjuran universiti berkenaan menampilkan 10 penceramah dan ahli panel dalam dan luar negara.
Antaranya termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Profesor Dr Sarah Wamala Andersson dari Universiti Malardalens, Sweden dan Ketua Bahagian Sains, Kejuruteraan dan Pengajian Kesihatan, The Hong Kong Polytechnic University, Profesor Dr Ben Fong.
Sementara itu, Vincent berkata persidangan berkenaan merupakan manifestasi kepercayaan universiti tersebut terhadap dialog antara disiplin yang diyakini dapat memacu perubahan bermakna.
“Kita telah menyaksikan pertemuan idea dan kepakaran pelbagai pihak yang telah meletakkan asas untuk membina masa depan yang lebih adil dan lestari.
“Curtin University Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam membangunkan strategi integratif untuk menangani cabaran tempatan dan global dan perbincangan pada forum ini memperkuat peranan kami sebagai hab inovasi kelestarian di rantau ini,” tambahnya. -TVS.