DALAT, 4 Sept: Seorang lelaki warga emas yang terjatuh ke dalam sungai dalam insiden pelanggaran bot dan perahu di Batang Oya, di sini pada Isnin lalu dijumpai meninggal dunia, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mayat mangsa, Dos Katiek, 79, ditemui cucunya pada 12.30 malam tadi pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di Jeti Lebrasau dan dibawa ke Hosptal Dalat bagi tujuan pengesahan sebelum dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, bomba memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden terbabit pada 9.42 pagi, Isnin, sebelum melakukan operasi pencarian.
Bagaimanapun operasi hari pertama gagal menemui mangsa dan diteruskan pada hari kedua dengan menggunakan kaedah pencarian atas permukaan air dan kaedah tradisional (rotan berduri).
“Operasi yang turut disertai polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) diteruskan sehingga mayat mangsa ditemui tengah malam tadi,” katanya.
Insiden kira-kira jam 7.20 pagi itu dipercayai berlaku di kawasan antara Kampung Sua dan Kampung Klid Oya.
Difahamkan mangsa yang menaiki perahu terkena bahagian hadapan bot itu menyebabkannya terjatuh ke dalam sungai.