KATHMANDU, 4 Sept: Nepal memberikan sambutan wira kepada pemenang pingat Paralimpik pertama negara itu apabila orang ramai bersorak menyambut kepulangan bintang taekwondo, Palesha Goverdhan.
Goverdhan, 21, meraih gangsa pada Sukan Paralimpik 2024 Paris yang merupakan panamat podium pertama dalam sejarah bagi negara Himalaya itu.
“Saya menunaikan janji membawa pingat pulang ke tanah air.Pencapaian ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua orang,” kata Goverdhan ketika berucap selepas ketibaannya.
Dia berkata sudah lama menunggu Nepal untuk memenangi pingat.
“Ia difikirkan mustahil, saya percaya kini atlet muda taekwondo dan atlet lain boleh melihatnya,” katanya.
Muzik tradisional dan pancaragam tentera dimainkan dengan Goverdhan berselimutkan bendera negaranya, dikalungkan bunga dan selendang tradisional Buddha.
Ketika muncul di lapangan terbang, dia menerima sorakan gemuruh.
Atlet taekwondo muda merupakan antara ratusan yang berkumpul untuk menyambut kepulangan Goverdhan.
“Saya sangat gembira, terinspirasi dan bangga untuk negara,”kata Nandani Adhikari, atlet taekwondo berusia 13 tahun yang hadir.
“Kemenangannya terasa seperti milik kami,” katanya.
Goverdhan yang mengikuti pengajian kejuruteraan seni bina di China, memenangi gangsa dalam kategori taekwondo K44-57 kilogram (kg) wanita selepas menewaskan Marija Micev dari Serbia dengan keputusan 15-8.
Dilahirkan dengan kekurangan anggota kongenital di tangan kirinya dan Goverdhan belajar seni mempertahankan diri di sekolah ketika berusia 10 tahun.
Bapanya Pradeep Goverdhan berkata jurulatihnya melihat bakat anaknya dan mencadangkan supaya dia berlatih secara profesional.
“Dia telah membanggakan kami. Sebagai ibu bapa, anda risau apabila anak dilahirkan dengan kekurangan tetapi kami sentiasa menyokongnya.
“Sebagai seorang kanak-kanak, dia sentiasa berazam, bekerja keras untuk mencapai hajatnya,” tambah bapanya.
Sugam Bhattarai dari Persekutuan Orang Kurang Upaya Kebangsaan Nepal berkata, beliau berharap kemenangan itu akan membantu orang lain untuk turut mencapai matlamat mereka.
“Pencapaiannya bukan sahaja membawa kegemilangan kepada Nepal tetapi turut menyerlahkan potensi atlet para di negara yang mana sukan para kekurangan dana dan sering terlepas pandang.
“Saya harap ia akan menggalakkan pelaburan dalam sukan para. Ia adalah bendera negara yang sama, tidak kira siapa yang menaikkannya,” katanya.
Goverdhan menjadi atlet Nepal pertama memenangi pingat di Sukan Para Asia iaitu gangsa pada 2022.
Dia memenangi emas di Sukan Para Remaja Asia tahun sebelumnya dan pingat gangsa pada Kejohanan Taekwondo Para Asia 2018 di Vietnam.
Goverdhan menduduki tempat kelima pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan memberitahu sebelum ke Paris, dia mensasarkan emas.
“Saya amat berbangga kerana telah mencapai kemenangan ini untuk negara kita yang tercinta,” kata Goverdhan di media sosial. -TVS.