MIRI, 5 Sept: Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Usaha Tenaga Baharu dan Mampan (CONSERV) di Universiti Curtin Malaysia merupakan satu lagi langkah signifikan ke hadapan dalam penerokaan bidang tenaga mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pusat ini akan berfungsi sebagai platform untuk inovasi, kerjasama dan pembangunan teknologi termaju yang boleh memacu usaha peralihan tenaga Sarawak.
“Ia selaras dengan misi untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam tenaga bersih bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk rantau ASEAN yang lebih luas.
“Saya memuji Universiti Curtin Malaysia kerana pendekatannya yang berpandangan ke hadapan dalam menyepadukan penyelidikan, pendidikan dan kerjasama industri dalam bidang penting ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Majlis Peralihan dan Pameran Tenaga 2024 ICETE’24 yang dibaca oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim pada Persidangan Antarabangsa mengenai Peralihan dan Pameran Tenaga 2024 ICETE’24 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata lagi, pengenalan program Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Tenaga dan Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Mekatronik yang baharu mengukuhkan lagi peranan universiti tersebut sebagai pemain utama dalam memupuk bakat dan kepakaran dalam bidang yang kritikal untuk masa depan tenaga.
Tambahnya, sebagai sebuah kampus antarabangsa yang terawal dan terbesar milik Kerajaan Sarawak, Universiti Curtin Malaysia menunjukkan komitmennya dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia.
Ia sekali gus memberikan cerminan dasar dan inisiatif kerajaan Sarawak dalam meningkatkan pendidikan tinggi.
Selain itu, kejayaan penarafan MyRA 5 dalam kalangan universiti di Malaysia adalah bukti keupayaan penyelidikannya yang teguh. – TVS