KOTA SAMARAHAN, 5 Sept: Pusat Sehenti Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) diyakini bakal merancakkan lagi sektor pertanian wilayah ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pusat itu kelak akan berfungsi sebagai tulang belakang dalam membantu golongan petani serta penternak dalam mendepani pelbagai isu merangkumi rantaian nilai seperti tanaman, ternakan dan perikanan.
“Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM20 juta bagi menyiapkan pusat sehenti ini dan saya yakin, pusat sehenti ini akan berfungsi sebagai sebuah pusat yang holistik dalam membantu golongan petani serta penternak dengan adanya sistem pentadbiran serta pemprosesan rantaian nilai industri pertanian yang menyeluruh.
“Ini kerana, kita mahu semua yang terlibat dalam pertanian di Sarawak tidak membazir sumber yang ada dari segi tanaman dan sebagainya,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan ke bangunan baharu PPNS di sini, hari ini.
Rundi berkata, fungsi pusat sehenti itu akan ditambah baik dari masa ke masa termasuk menyediakan khidmat pemasaran, latihan dan kursus teknikal.
Antara lain, ia turut menyediaan perkhidmatan sokongan dan input pertanian serta agroteknologi bagi membantu golongan tani selain golongan belia yang berminat untuk melibatkan diri dalam industri tersebut.
Pusat Sehenti PPNS dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 25 september ini.