Search
Close this search box.

Sekolah Di Seluruh Negara Ditutup Mulai Esok

PUTRAJAYA: Semua sekolah di seluruh negara ditutup mulai esok (9 Nov) hingga ke tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata untuk sekolah di negeri-negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, penutupan ialah hingga 17 Dis sementara negeri-negeri Kumpulan B hingga 18 Dis.

Katanya keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan semua negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis bermula esok hingga 6 Dis depan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Seperti mana takwim penggal dan cuti persekolahan 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Jan 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Radzi berkata pelajar tingkatan satu, empat, lima dan enam serta penuntut kolej vokasional juga akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh sama, sementara pelajar tingkatan dua dan tiga pula meneruskan pembelajaran secara home-based learning mengikut kesesuaian guru, juga bermula pada tarikh sama.

Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021, katanya.

Ditanya sebab pelajar tingkatan dua dan tiga hanya memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 8 Mac 2021, Radzi berkata ini kerana kelas mereka akan digunakan untuk menempatkan pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 pada 22 Feb 2021.

Mengenai kekangan pelajar luar bandar terutamanya dari segi akses kepada Internet untuk pembelajaran dalam talian, Radzi berkata KPM menyerahkan sepenuhnya kepada guru untuk menggunakan apa sahaja kaedah terbaik dalam memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Mengenai pelajar yang tinggal di asrama, Radzi berkata ibu bapa atau penjaga perlu membawa mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, pelajar boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya, menambah sepanjang tempoh itu mereka akan berada di bawah pengawasan warden asrama, manakala makan dan minum akan disediakan pihak sekolah.

Radzi berkata ketetapan mengenai tarikh permulaan sekolah itu turut terpakai kepada sekolah swasta dan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Radzi berkata pelajar program matrikulasi KPM dan pelajar institut pendidikan guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri hingga 31 Dis 2020.

Pelajar program Matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Jan 2021, katanya.

Bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran untuk semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru sesi 2020/2021 dan sesi 2021/2022.

“Pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Jan 2021,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan