Search
Close this search box.

DUN Sarawak Tunda Rang Undang-Undang Pinda Perlembagaan Negeri

ByEekbal Yusuf

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini menunda rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Sarawak berkaitan menurunkan usia minimum kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

Ketika membuat keputusan itu, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar berkata terdapat anomali dalam penggubalan RUU tersebut dan anomali berkenaan berkaitan tafsiran. 

“RUU ini merujuk Seksyen 71 Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 71 itu seterusnya merujuk kepada Seksyen 66 (akta sama). Berikutan anomali-anomali ini dan pencerahan yang perlu dibuat, saya menunda RUU ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya pada akhir perbahasan RUU itu di sini.

Seksyen 71 ialah mengenai individu berasal dari negeri Malaysia Timur sementara Seksyen 66 menyentuh larangan terhadap hak rakyat untuk memasuki negeri Malaysia Timur.

Terdahulu semasa membentangkan RUU itu, Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata RUU tersebut bertujuan meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dengan yang pertama menurunkan had umur layak menjadi ahli DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan kedua, mentafsirkan serta menjelaskan perkataan “penduduk  negeri”

“Pindaan ini amat penting bagi menjamin peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkataan ‘penduduk negeri’ itu perlu ditafsir dan diperjelas memandangkan peruntukan sedia ada tidak jelas akan maknanya,” kata beliau.

Lima ahli DUN membahaskan RUU itu dengan pembangkang yang diwakili  oleh Chong Chieng Jen (PH-Kota Sentosa) dan Datuk Seri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) membantah bahagian kedua pindaan.

Chong berkata rakyat di Malaysia Barat dan Sabah yang berstatus pemastautin tetap selama dua tahun akan layak dipilih ke DUN jika pindaan itu diluluskan.

Wong pula berkata pindaan terhadap Perlembagaan Sarawak sepatutnya memastikan hak dipilih ke DUN hanya milik rakyat Malaysia yang lahir di Sarawak.

Penyokong kerajaan Datuk Idris Buang (GPS-Muara Tuang) berkata pindaan perlu mengambil kira keperluan melindungi Sarawak daripada politik tidak beretika dan tidak berbudaya dari luar Sarawak.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan