Search
Close this search box.

Kerajaan Cadang Tutup Lima Pejabat Education Malaysia Di Luar Negara

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menutup lima pejabat Education Malaysia (EM) di luar negara iaitu pejabat di Chicago dan Los Angeles di Amerika Syarikat, New Zealand, Ho Chi Minh di Vietnam dan Perth, Australia.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Mansor Othman berkata ia berikutan pejabat berkenaan didapati tidak lagi menyumbang kepada pertambahan penuntut antarabangsa ke Malaysia, pertambahan geran pendidikan atau sebarang peningkatan hasil kepada negara.

“Bagi memperhalusi cadangan rasionalisasi yang dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beberapa siri perbincangan dan sesi engagement (keterlibatan) dengan stakeholders (pihak berkepentingan) kementerian yang turut disertai oleh JPA dan Kementerian Luar Negeri telah diadakan.

“Hasilnya, satu cadangan rasionalisasi pejabat EM telah dikemukakan kepada JPA dan telah dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa pemandu penubuhan pemindahan dan penutupan pejabat wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negara pada 16 Jan 2020.

“Jawatankuasa itu seterusnya mencadangkan supaya rasionalisasi pejabat EM dilaksanakan secara inklusif dengan rasionalisasi pejabat wakil agensi kerajaan di luar negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang ingin tahu status semasa rasionalisasi pejabat EM di luar negara.

Sehubungan itu, Mansor berkata pelaksanaan rasionalisasi pejabat wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negara sedang dikaji dan diperhalusi secara menyeluruh di peringkat agensi pusat.

Penubuhan pejabat EM bermula dengan sembilan pejabat Malaysian Student Department (MSD) pada tahun 1994 dengan tujuan asal untuk menguruskan hal ehwal pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Pada 2003, empat Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC) di luar negara ditubuhkan dengan empat tujuan utama iaitu menggalakkan pelaburan swasta, memperkukuhkan daya saing negara, menjana pertumbuhan baharu dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan swasta.

Pada 9 Julai 2010, mesyuarat jemaah menteri bersetuju untuk menjenamakan semula pejabat MSD dan MEPC kepada EM yang berperanaan mempromosikan jenama pendidikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia bagi menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS