Search
Close this search box.
pesara rugi lebih RM1 juta ditipu scammer
Gara-gara panik dan takut selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM429,000 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Polis Terima 5,218 Laporan Kes ‘Macau Scam’ Libatkan Kerugian RM256 Juta

ByEekbal Yusuf

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,218 kes sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga RM256 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,676 kes berjaya ditumpaskan oleh PDRM, dan 1,420 kes pula sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara.

“Mangsa yang paling ramai adalah wanita iaitu lebih 3,000 kes dan kebanyakan daripada mereka berumur lebih 51 tahun. Pada kebiasaannya mangsa yang tertipu berada dalam keadaan tertekan dan takut akan ditangkap dan dilokap, selain risau hartanya akan dirampas.

“Jangan jawab panggilan tidak dikenali, namun sekiranya sudah dijawab, apabila diminta memindahkan duit ke dalam akaun mana-mana jabatan kerajaan, tidak perlu berbuat demikian kerana kerajaan tidak pernah memberi arahan kepada orang awam memindahkan wang dari satu akaun ke akaun lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dilantik menjadi Ketua Polis Melaka yang baharu menggantikan Datuk Mat Kasim Karim yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Sementara itu, Abdul Majid berkata sejumlah 169 pegawai dan anggota polis di Melaka menjalani kuarantin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas sehingga semalam, susulan mempunyai kontak rapat dengan orang awam yang terdedah dengan jangkitan COVID-19.

Katanya daripada jumlah itu, 164 orang didapati bebas daripada jangkitan tersebut, manakala lima orang lagi masih menunggu keputusan ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan selain terdapat juga sedang di bawah pengawasan di hospital dan di rumah.

Dalam pada itu Abdul Majid, 58, berkata, beliau akan menggunakan pengalaman kira-kira 38 tahun dalam pasukan PDRM sebelum ini untuk mencapai empat misi yang akan dilaksanakan di Melaka.

“Saya akan memfokuskan kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat, jati diri sumber manusia berasaskan integriti iaitu bersih, bukan kepada rasuah tetapi membuat kerja dengan betul dan mengembalikan keyakinan masyarakat kepada perkhidmatan pasukan polis.

“Pada peringkat awal ini, keutamaan saya kepada negeri Melaka adalah untuk (memerangi) COVID-19 kerana ia menjadi hasrat kerajaan dan negeri ini, selain itu saya akan memimpin petugas barisan hadapan (polis Melaka) untuk mengembalikan Melaka kepada Zon Hijau,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment