Search
Close this search box.

Belanjawan 2021 Lulus, Pencari Kerja Lega

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar pada Khamis, benar-benar melegakan golongan pencari kerja yang bergantung harap pada pelbagai inisiatif dalam belanjawan berkenaan, untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah kehilangan mata pencarian akibat COVID-19.

Walaupun hanya di peringkat dasar, ia dilihat sebagai ‘petanda’ bahawa Ahli-Ahli Parlimen mendengar keluh kesah golongan berkenaan yang berdepan situasi sukar ketika ini dan bukti mereka mengetepikan perbezaan politik buat seketika, demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Optimis Belanjawan 2021 akan disokong kedua-dua belah pihak pada peringkat seterusnya, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, antara inisiatif yang ‘ditunggu-tunggu’ sudah pastinya ialah Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, bermula tahun depan.

“Dengan situasi semasa sekarang, mereka yang kehilangan pekerjaan amat berharap agar kerajaan berbuat sesuatu bagi memastikan kebajikan mereka terbela, dan Belanjawan 2021 diibaratkan umpama talian hayat buat mereka menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan khusus untuk golongan pekerja,” katanya kepada Bernama.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar semalam dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya, apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan berkenaan, menjadikan ia jumlah terbesar dalam sejarah belanjawan negara ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Menurut Abdul Halim, sehingga kini dianggarkan hampir 800,000 telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik itu, dengan hampir 100,000 sedang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insuran Pekerjaan.

Sementara itu katanya, kira-kira 700,000 pula memerlukan perhatian kerajaan sama ada dari segi peluang pekerjaan baharu atau diberikan bantuan, untuk menjadi usahawan kecil-kecilan.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov lepas, kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja di bawah Perkeso, yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya menerusi empat insentif dengan peruntukan RM2 bilion.

Sementara itu, bekas juruterbang Mohamad Syafiq Mohamed Shariff, 30, percaya skim JanaKerja akan memberi manfaat kepada dirinya untuk mendapatkan pekerjaan baharu, meskipun dalam bidang lain.

“Bila dah tiada kerja, terpaksa cari ilmu baharu sebab nak sesuaikan kemahiran dengan kerja kosong (kekosongan jawatan) yang ada nanti. Itupun tidak pasti dalam bidang apa.

“Saya memang sokong kalau sesuatu inisiatif kerajaan itu bagus, dan JanaKerja nampaknya selain beri peluang pekerjaan kepada orang ramai, ia juga memberi ilmu baharu kepada mereka yang mencari kerja (pekerjaan),” katanya.

Menurut Mohamad Syafiq, beliau yang berpengalaman selama lima tahun sebagai juruterbang telah diberi cuti tanpa gaji selama setahun sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, bekas pengurus restoran Iqbal Hafifi Zainuddin, 30, sedang menunggu pelaksanaan skim JanaKerja dan sanggup menukar bidang kerjaya, bagi mendapatkan pendapatan tetap.

“Saya sekarang buat e-hailing (pemandu), jadi pendapatan hanya bergantung kepada jumlah penumpang yang ambil perkhidmatan kita. Itupun sekarang sangat susah sebab COVID-19, tidak ramai nak keluar rumah.

“Kalau boleh (JanaKerja) bantu dapat kerja, saya tak teragak-agak untuk ambil (daftar skim tersebut). Lagipun dia (JanaKerja) akan melatih kita untuk jawatan yang sesuai, jadi tiada masalah,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan