Search
Close this search box.

Alena Murang Raih Anugerah Di Festival Video Muzik Buenos Aires 2020

KUCHING: Penyanyi dan bintang sape kelahiran Sarawak Alena Murang mengharumkan nama negara apabila meraih Anugerah Penggayaan Terbaik pada Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 (BAMVFEST20) di Argentina yang berakhir 29 Nov lepas.

Kemenangan pemuzik berusia 31 tahun itu diperolehi menerusi video muzik lagu Midang Midang yang mempamerkan kepelbagaian dan identiti budaya Sarawak digambarkan dalam gaya, motif dan reka bentuk fesyen mempesonakan dalam kelas tersendiri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia adalah satu penghormatan buat Sarawak kerana Alena berjaya menyampaikan mesej mengenai keunikan budaya, fesyen dan tradisi menerusi video muzik unik dan hebat.

“Lebih menggembirakan apabila melihat pakaian dan aksesori dipakai Alena dalam video muzik yang meraih anugerah adalah hasil pereka dan pekerja kraf tradisional tempatan,” katanya.

Abdul Karim juga gembira mengetahui video muzik berkenaan dirakamkan di Dataran Tinggi Bario dan Pantai Tusan di Miri, yang berpotensi menarik minat penonton dari luar negara terutama mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tarikan pelancongan di Sarawak.

“Sudah tentu video muzik itu berpotensi dan mampu memaparkan budaya Sarawak di pentas global dan kami boleh mempertimbangkan sokongan terhadap inisiatif serupa pada masa depan kerana mereka dapat membantu menyampaikan mesej kepada masyarakat luar.

“Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Alena dan pasukannya atas kejayaan meraih anugerah peringkat antarabangsa dan ia satu pencapaian buat Sarawak selepas keunikan warisan dan tradisi mendapat pengiktirafan menerusi video muzik hebat yang mencapai 40,000 tontonan di Youtube,” katanya.

Muzik video lagu suku kaum Kelabit itu diterbitkan oleh Project Room bersama Alena’s Kanid Studio dan dilancarkan pada 27 Nov tahun lepas, dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandaraya Miri (PKS).

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan