Search
Close this search box.
Adat Miring. Kredit: Suara Sarawak

Penjual Barang Miring Tetap Untung Walaupun Ramai Tak Dapat Balik Ke Rumah Panjang

ByNurul Amarlina

SIBU, MEI 27: Walaupun sekatan jalan raya menghalang ramai untuk pulang menyambut Gawai di rumah panjang, upacara miring tetap dijalankan dari rumah masing-masing.

Bagi peniaga barang upacara miring, Kunchi Geluma, jualannya masih mendapat sambutan kerana ramai memilih untuk mengadakan ritual tradisional itu di rumah sendiri.

“Walaupun jualan kurang berbanding sebelum pandemik, semakin ramai orang membeli barang miring kerana risau pasar tutup. Mereka melakukan upacara miring di rumah mereka sendiri kerana mereka tidak dapat balik ke rumah panjang,” kata Kunchi ketika ditemui TVS.

Sambutan baik bagi barang miring menjelang Gawai bagi peniaga Kunchi Geluma

Seorang lagi peniaga, Frida Awal berkata walaupun jualannya agak kurang pada hari biasa namun jualan semakin bertambah baik menjelang Hari Gawai.

“Seperti biasalah ketika Gawai memang ada sambutan, kalau hari biasa baru kurang. Menjelang Gawai kadang-kadang sehari boleh dapat RM100 hingga RM200 atau terutama hujung bulan.

“Semasa Covid-19 ini kurang pembeli kerana orang ramai takut ke pasar tetapi masih ada yang mahu mengadakan upacara miring contohnya mereka yang menyambut Gawai di Sibu. Mereka mengadakan upacara miring di rumah sewa atau rumah mereka sendiri kerana ada yang masih mengamalkan kepercayaan mereka,” kata Frida.

Peniaga Frida Awal berkata beliau peroleh RM100 hingga RM200 sehari hasil jualan barang miring

Bagi surirumah Lungie Limbang, beliau membuat keputusan untuk mengadakan miring di rumahnya dengan keluarga sahaja kerana tidak dapat balik ke rumah Panjang.

 “Sekarang ramai yang tidak dapat balik ke rumah panjang jadi buat dekat rumah sajalah. Miring memang adat orang Iban terutama yang masih berpegang kepada kepercayaan adat Iban yang lama,” katanya.

Bagi pekerja swasta Maria Beki, beliau turut tidak dapat balik ke rumah panjang untuk menyambut Gawai. Beliau berkata upacara miring wajib dilakukan bagi yang masih berpegang dengan kepercayaan Iban yang lama.

 “Sudah lama saya tidak dapat balik jadi saya mengadakan upacara ini di rumah sewa sahaja kerana masih berpegang dengan adat lama. Miring ialah adat dan kepercayaan orang Iban jadi upacara ini harus dilakukan untuk memberkati tempat tinggal kita dan pekerjaan kita,” kata Maria.

Dalam masyarakat Iban, miring merupakan sebuah upacara untuk menghormati ‘petara’ atau Tuhan. Upacara ini lazimnya dilakukan sempena Hari Gawai dan juga dilakukan untuk mencari kejayaan dan keberkatan dalam pekerjaan.

Miring ialah upacara tradisional kaum Iban. Piring Lima dalam gambar di atas adalah untuk mendirikan rumah panjang.
Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan