Search
Close this search box.
Naib Ketua Wirawati Sabah Parti Warisan (Warisan), Rina Jainal membuat pengumuman keluar parti dan meletak kesemua jawatan disandangnya dalam parti itu berkuat kuasa, hari ini.

Rina keluar Warisan sertai PHRS

KOTA KINABALU, 5 Jun : Naib Ketua Wirawati Sabah Parti Warisan (Warisan), Rina Jainal membuat pengumuman keluar parti dan meletak kesemua jawatan disandangnya dalam parti itu berkuat kuasa, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan turut mengumumkan penyertaan dalam Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah yang juga berkuat kuasa hari ini.

“Terdapat tiga pengumuman penting yang ingin saya kongsikan pada hari ini 5 Jun 2022 iaitu pertama saya mengumumkan perletakan semua jawatan dalam Parti Warisan termasuk sebagai Naib Ketua Wirawati Sabah dan Ketua Wirawati Bahagian P191 Kalabakan berkuat kuasa serta merta.

“Kedua saya juga membuat pengisytiharan keluar parti Warisan berkuat kuasa hari ini selepas lebih lima tahun berjuang bermula dari akar umbi sehinggalah ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ketiga saya dengan ini mengumumkan menyertai PHRS berkuat kuasa hari ini dan akan bersama barisan kepimpinan PHRS untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika sidang media di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Ketika ditanya mengapa menyertai PHRS, Rina memberitahu parti berkenaan boleh membantu beliau untuk fokus berjuang demi rakyat di kawasan yang diterajuinya.

“Parti ini kita boleh bawa untuk memperjuangkan nasib rakyat terutamanya di Tawau, parti ini fokus bekerja dan berkhidmat untuk masyarakat di kawasan Tawau terutamanya kawasan saya,” katanya.

Sementara itu Presiden PHRS, Tan Sri Liew dalam sidang media sama berkata, kepimpinan parti itu akan memberi jawatan yang bersesuaian kepada Rina di dalam parti.

“Kita akan beri jawatan yang bersesuaian dengan Rina sekarang ini, kita akan mencadangkan dalam Jawatankuasa Tertinggi (Parti) dan Rina mungkin akan menyandang (jawatan) Ketua Wanita Pusat dan juga Timbalan Presiden Parti,” katanya.

Untuk rekod Rina telah memenangi kerusi DUN Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu dengan majoriti tipis 10 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Beliau memperoleh 2,834 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Chaya Sulaiman mewakili Barisan Nasional yang mendapat 2,824 undi.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found