Search
Close this search box.
MOSTI sahkan tiada unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki serpihan roket milik China yang ditemui di Bintulu dan Niah, semalam. Foto: JBPM Bintulu, Sarawak.

Tiada radiasi pada dua objek ditemui di Bintulu dan Niah – MOSTI

BINTULU, 2 Ogos : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan tiada unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki serpihan roket milik China yang ditemui di Bintulu dan Niah.

Menurut MOSTI, ini berdasarkan siasatan oleh Bahagian Penguasa Angkasa, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri, Sarawak.

Jelas kementerian itu, pada pukul 1.45 petang, seramai empat orang pegawai AELB Bintulu bersama pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu telah menjalankan siasatan di Kampung Nyalau.

“Berdasarkan siasatan, pasukan mendapati bahawa objek pertama bersaiz lima inci itu tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan.

“Siasatan terhadap objek kedua di Batu Niah turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi,” jelas MOSTI menerusi kenyataan media di keluarkan di Putrajaya di sini hari ini.

Awal pagi kelmarin, MOSTI mengesahkan kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi yang dikesan pada pukul 12. 55 pagi waktu Malaysia di beberapa kawasan sekitar Sarawak.

Sementara itu, MOSTI menjelaskan kedua-dua objek disyaki selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

“Untuk langkah selanjutnya, MOSTI melalui MYSA dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek yang ditemui itu bagi mengesahkan sama ada objek berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau sebaliknya,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu di lokasi, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Batholomew Umpit berkata, objek besi separa itu ditemui pada kedalaman kira-kira empat inci di dalam tanah pada pukul 9 pagi.

“Objek logam itu ditemui di kawasan kebun kelapa sawit persendirian di Kampung Kuala Nyalau, Samalaju,”katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan