Search
Close this search box.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Mohd Muazzam Mohamed said berkata industri tersebut lebih matang di negara ini berbanding negara-negara lain dengan bantuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Foto: AIBIM
Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Mohd Muazzam Mohamed said berkata industri tersebut lebih matang di negara ini berbanding negara-negara lain dengan bantuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Foto: AIBIM

Industri fintech di Malaysia capai kematangan, akan terus berkembang – AIBIM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 24 Sept : Industri teknologi kewangan (fintech) Islam di Malaysia telah mencapai kematangan dan akan terus berkembang pada beberapa tahun akan datang menerusi kemajuan dasar, teknologi dan bakat bagi menyokong ekosistem berkenaan.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) Mohd Muazzam Mohamed said berkata industri tersebut lebih matang di negara ini berbanding negara-negara lain dengan bantuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Kita juga perlu memberikan pujian kepada ketersediaan sumber dan bakat kita, serta hakikat bahawa Malaysia mempunyai asas yang baik apabila bakat dan perkhidmatan kewangan itu boleh disebar-luaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF 2022) yang akan diadakan pada 5 hingga 6 Oktober di ibu negara, anjuran AIBIM dengan kerjasama Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata kewangan Islam merupakan tulang belakang kepada pemulihan ekonomi dan kuasa penggunaan yang semakin bertambah.

Menurutnya sebagai antara kuasa perubahan utama, Malaysia mempunyai kepentingan untuk mempertahankan nilai dan prinsip kewangan Islam ke arah mencapai kemakmuran, kemampanan dan keterangkuman bersama.

“Pembiayaan sosial juga kekal sebagai mekanisme penting untuk kita mengalakkan kepercayaan sosial, kerjasama dan perpaduan.

“Di Malaysia, menerusi inisiatif sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI), kita telah memberi sumbangan yang ketara kepada pemulihan sosioekonomi negara ketika pandemik COVID-19 dengan menyediakan pembiayaan sosial kepada segmen mudah terjejas, terutamanya kumpulan B40 dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,” katanya.

Menurut Moody’s, pemulihan ekonomi di pasaran kewangan Islam utama akan merangsang pertumbuhan kredit dan permintaan terhadap produk patuh Syariah, manakala pertumbuhan aset bank Islam dijangka terus mengatasi rakan setara konvensionalnya.

Pemulihan ekonomi turut memacu peningkatan kuasa penggunaan masyarakat Muslim apabila penduduk dunia iaitu melibatkan seramai 1.9 bilion (masyarakat Muslim) membelanjakan bersamaan US$2 trilion pada 2021 untuk seluruh sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen dan perjalanan.

Perbelanjaan masyarakat Muslim diramalkan mencapai US$2.8 trilion menjelang 2025, kata Moody’s.

Menurut agensi penarafan itu, Petunjuk Ekonomi Islam Global menyatakan Malaysia kekal sebagai pemimpin global dalam kewangan Islam dan menduduki tempat pertama dalam kalangan 81 negara untuk tahun kesembilan berturut-turut.

Dalam pada itu, Pengerusi GIFF 2022 Arsalaan Ahmed berkata terdapat tiga perkembangan utama yang akan mengukuhkan lagi kepimpinan Malaysia dalam sektor ini.

“Pertama, Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang bertujuan menambah baik kewangan berasaskan nilai menerusi kepimpinan kewangan Islam.

“Kedua, pengeluaran lesen perbankan digital akan mempercepat penggunaan teknologi baharu untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

“Akhir sekali, fintech Islam sedang meningkat dengan ketara di Malaysia dengan 33 peratus daripada syarikat fintech Islam dunia beribu pejabat di sini,” katanya.

Naib Presiden AIBIM Datuk Mohamed Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican berkata pengeluaran lesen bank digital tentunya memerlukan fintech Islam untuk menambah baik peranannya.

“Kami mendapati pada dua tahun lepas, misalnya ketika pandemik, kita sebenarnya mampu memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik semasa sekatan pergerakan kerana kita membuat pelaburan dalam platform ini.

“Menerusi lesen bank digital ini, kita sebenarnya memberikan perkhidmatan lebih khusus kepada anda, berbanding dengan kaedah semasa iaitu berkunjung ke cawangan kami. Cara kami berkhidmat telah mula menunjukkan kemajuan,” katanya.

BNM mengumumkan lima penerima lesen bank digital pada April 2022. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan