Search
Close this search box.
Juara Getaran Jiwa Musim Pertama, Aruel Ariel dari Selangor. Foto: Muqri Aziz (TVS)

Getaran Jiwa: Hajat tertunai, Aruel Ariel bernazar mengerjakan umrah

KUCHING, 10 Dis: Getaran Jiwa musim pertama terbitan TVS mengangkat Aruel Ariel, 36, dari Selangor sebagai juara selepas mengenepikan tiga pencabar yang lain iaitu Santiana Ramli, Afif Tenor dan Ameem.

Aruel membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 beserta trofi sumbangan TVS selepas mendendangkan dua buah lagu iaitu ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan ‘Gelora’ menerusi cabaran Battle Duo bersama pasangannya, Santiana Ramli.

“Saya sangat-sangat terkejut dan pada masa yang sama sangat gembira apabila diumumkan sebagai juara Getaran Jiwa. Lagu yang diberikan pada minggu akhir ini sangat susah kerana lagu solo saya itu bergenre ballad dan saya bukannya seorang penyanyi ballad.

“Insya-Allah, mengikut perancangan asalnya jika menang saya bernazar untuk mengerjakan umrah dan apabila Tuhan sudah memberi saya rezeki ini, saya akan menguruskan benda itu,” katanya ketika ditemui TVS pada sidang media selepas konsert akhir Getaran Jiwa di Stadium MBKS, Bintawa malam tadi.

Pada masa yang sama, Aruel juga akan mengeluarkan lagu baharunya iaitu ‘Goda Menggoda’ yang bergenre klasik yang tertangguh sejak Oktober lalu berikutan dia menyertai program Getaran Jiwa.

Katanya, lagu baharunya itu akan dikeluarkan sebaik sahaja Aruel pulang daripada mengerjakan umrah.

Naib juara milik Santiana Ramli dari Sabah yang menyampaikan lagu Tari Tualang Tiga, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dimenangi oleh finalis tunggal dari Sarawak iaitu Afif Tenor, memenangi hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi serta turut memenangi anugerah GJ Pilihan Jiwa dan menerima hadiah RM1,000.

Tempat keempat dimiliki Ameem dari Johor, menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan plak.

Pertandingan akhir Getaran Jiwa berlangsung di Stadium MBKS, Bintawa di sini dan disiarkan secara langsung menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV.

Malam akhir Getaran Jiwa diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhayati Ismail, Pengarah Eksekutif SMG, Sarbini Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Rizal Zulkapli. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan