Search
Close this search box.
Gambar hiasan. Foto: Bernama

Parlimen: Model cukai dilaksanakan Malaysia tidak mampan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Model cukai yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini diakui tidak mampan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Malaysia pada masa hadapan tidak boleh meneruskan model berkenaan berdasarkan sumbangannya sebanyak 11.5 peratus hasil cukai daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan berhasrat untuk meluaskan asas hasil cukai termasuk menyemak semula struktur yang diguna pakai ketika ini.

“Antara langkah kerajaan ialah kita ingin melaksanakan subsidi bersasar dan kita telah mulakan untuk elektrik bagi Januari hingga Jun yang memberi penjimatan hasil sebanyak RM4.1 bilion kepada kerajaan.

“Subsidi bersasar juga (akan diguna pakai) untuk diesel yang mana sistem akan diselesaikan pada suku kedua tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Barisan Nasional – Titiwangsa) yang ingin tahu sama ada model percukaian digunakan Malaysia ketika ini memberi pulangan yang rendah berbanding kaedah digunakan negara jiran yang seterusnya dibimbangi meningkatkan hutang negara.

Sementara itu, Ahmad turut memberitahu, kerajaan akan menyemak struktur hasil cukai di samping memberi insentif hasil cukai.

“Kita juga akan melaksanakan strategi sederhana tiga tahun bagi pastikan strategi jangka panjang yang lebih teratur.

“Selain itu kita akan melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang akan dibentang tahun ini,” katanya.

Menerusinya Ahmad memberitahu, hutang negara tidak boleh melebihi 65 peratus KDNK serta khidmat hutang perlu kurang 15 peratus.

“Perbelanjaan pembangunan pula mesti daripada hasil dan tidak boleh berhutang serta hutang luar tidak boleh lebih RM35 bilion,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan