Search
Close this search box.
Miri merupakan antara lokasi pelancongan utama di Sarawak. Foto: TVS

Miri bandar raya lestari yang kaya dengan kepelbagaian budaya etnik

ByFebbright James

MIRI merupakan sebuah bandar yang bukan hanya terkenal sebagai bandar minyak bahkan ia dilimpahi dengan kekayaan sumber alam semula jadi, gastronomi, budaya serta warisan masyarakat, sekali gus menjadikannya antara destinasi wajib singgah di Sarawak. 

Menerusi usaha dan kerjasama semua pihak, Miri merupakan antara lokasi pelancongan utama di negeri ini.

Misalnya baru-baru ini, Tourism Malaysia Sarawak telah menganjurkan program Jom! Kembara Miri iaitu lawatan agensi tersebut bersama-sama pengamal media, penulis blog dan juga pempengaruh media sosial dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia pada 14 sehingga 17 Mei.

Pengamal media dan pempengaruh yang menyertai program Jom! Kembara Miri anjuran Tourism Malaysia. Foto: TVS

Lawatan kali ini bertujuan untuk menerokai keindahan budaya beberapa etnik yang terdapat di Sarawak khususnya di bahagian utara serta beberapa tempat tarikan pelancong yang lain.

Justeru, dengan begitu banyak tarikan tersedia di Miri ini, penulis kongsikan beberapa tempat yang dilawati dan pengalaman meneroka keindahan dan keunikan Miri.

Etnik Lun Bawang 

Penulis dan rombongan lawatan dibawa ke sebuah rumah yang didiami sekeluarga etnik Lun Bawang dan kedatangan kami disambut oleh Persatuan Lun Bawang Sarawak Cawangan Bandar Miri.

Di rumah tersebut mereka mengadakan demonstrasi kebudayaan mereka termasuk tarian, bermain alat muzik tradisional, lagu rakyat, pakaian dan masakan tradisional etnik tersebut. 

Mereka memperkenalkan pakaian kaum lelaki yang diperbuat daripada kulit kayu yang dipanggil ‘kuyu talun’. Manakala kain yang dililit di kepala pula dipanggil Sigar sementara cawat yang dipakai dipanggil Abpar. Parang panjang yang diikat di pinggang dibawa ke medan perang dipanggil Pelepet. Manakala golongan wanita pula mengenakan Pata di kepala, Beret di pinggang, Bane di leher dan Gileng atau Pakel di tangan serta lengan. Pata pula dipakai sebagai simbol status.

Etnik ini juga sangat terkenal dengan alat muzik yang diperbuat daripada buluh. Mereka memainkan ini dalam kumpulan. Perempuan meniup suling dan lelaki meniup bass.

Selain itu mereka juga turut menunjukkan cara pembuatan Kopi Beras, Nuba’ Laya (nasi dibungkus dengan daun pisang atau Itip) dan demonstrasi ‘tupeh’ (menumbuk padi) yang menjadi tradisi mereka.

Etnik Kedayan

Seterusnya, Tourism Malaysia Sarawak turut membawa rombongan media berkunjung ke Inap Desa Kampung Peliau, Bungai di Sibuti yang menempatkan etnik Kedayan dan mengambil masa perjalanan kira-kira 50 minit dari pusat bandar raya.

Kedayan merupakan etnik minoriti di Sarawak yang kebiasaannya tinggal di Bekenu, Lawas, Limbang, Miri dan Sibuti.

Terdapat demonstrasi masakan tradisional dipersembahkan iaitu masakan ampap ikan kelapa dan sayur keladi rebus.

Rombongan turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian menuai padi, silat dan penerangan tentang pakaian tradisional mereka.

Antara acara tahunan etnik Kedayan ialah Pesta Makan Tahun iaitu upacara kesyukuran bersempena musim menuai padi dan perayaan ini sama seperti Sambutan Gawai Dayak

Biasanya, pada perayaan tersebut, masyarakat Kedayan akan bermain alat muzik Sedaman untuk menghiburkan petani semasa menuai padi.

Namun kini, muzik Sedaman ini sering dipersembahkan pada majlis-majlis rasmi, kenduri dan festival kebudayaan.

Sape Movement

Penulis turut berkesempatan berkunjung ke sebuat pusat yang menyediakan kelas sape iaitu Sape Movement yang terletak di Jalan Desa Pujut Utama, Bandar Baru Permyjaya. Ia ditubuhkan pada 2017 dan masih aktif dan dibuka kepada pelbagai lapisan masyarakat yang berminat bermain alat muzik tradisional sape.

Pengasasnya Garry Sudom Raymond, menjelaskan kepada rombongan media berkaitan sejarah sape, jenis-jenis sape dan pencapaian pusat tersebut dalam melahirkan pemain sape terkenal.

Katanya, beberapa pelajarnya telah menempa nama dalam menyertai festival muzik seperti Nikita Sarna yang beumur 12 tahun dan pernah membuat persembahan di Rainforest World Music Festival.

Selain itu juga, Garry bersama rakannya Hallan Hasim turut mengadakan demonstrasi bermain sape dan tarian Orang Ulu.

Pusat Kraf Tangan Miri

Tempat terakhir yang kami kunjungi ialah Pusat Kraf Tangan Miri yang menghimpunkan pelbagai produk kraf tangan etnik dan subetnik ‘Anak Sarawak’ yang tentunya mampu menarik perhatian pelancong asing.

Pusat ini terletak di Jalan Brooke atau Jalan Brooke, di pusat bandar Miri, Sarawak, di Malaysia Timur.

Kewujudan pusat kraf tangan ini membolehkan pengusaha produk kraf tangan di wilayah utara negeri ini memiliki ruang secukupnya untuk memasarkan hasil kreativiti masing-masing.

Keunikan kraf tangan sesebuah etnik terletak pada cara pembuatan yang hampir kesemuanya ialah buatan tangan, unik daripada segi rupa bentuk, corak, warna, ketelitian serta kegunaannya bagi setiap etnik.

Piasau Nature Reserve (Rizab Semulajadi Piasau)

Selain menerokai keunikan budaya etnik, penulis turut dibawa menerokai keindahan alam di Rizab Semulajadi Piasau yang terkenal dengan kisah cinta burung enggang spesies Pied Oriented Hornbill bernama Jimmy dan Faridah.

Muhammad Zuhdi Zulkipli iaitu warden di situ memaklumkan pada awalnya kawasan tersebut dimiliki oleh Sarawak Shell Berhad (SSB) dan diwartakan sebagai rizab semulajadi  pada 31 Disember 2013 selepas kematian Faridah.

@tvstvmy

Kisah cinta burung kenyalang cetus kewujudan Rizab Semulajadi Piasau. 📹 Febbright James (TVS) Layari www.tvstv.my & tonton TVS di saluran 122 Astro & MYTV. #TVS122 #TVSNews #RizabSemulajadiPiasau

♬ original sound – TVS News – TVS News

Kisah bermula apabila seorang remaja lalu di kawasan terbabit dan melihat seekor enggang (Faridah) bertenggek di dahan dan akhirnya melastik burung tersebut sehingga tepat mengenai mata burung tersebut dan menyebabkannya jatuh. 

Sepasukan doktor haiwan berusaha untuk menyelamatkan Faridah namun gagal dan bangkainya diserahkan kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet. 

Namun, Jimmy (suami Faridah) tidak mengetahui tentang kematian isterinya dan setiap hari ia menjerit dan berkeliaran di kem tersebut mencari Faridah sehingga menyebabkannya murung dan sedih. 

Setelah bangkai Faridah diawet dan dikembalikan kepada SFC seterusnya disimpan di Pos Renjer H58, hampir setiap hari Jimmy bertenggek di tepi tingkap tersebut ‘memanggil’ dan mematuk tingkap untuk cuba berkomunikasi dengan Faridah.

Kini, Jimmy telah menemukan cinta baharunya daripada spesies yang sama dan diberikan nama Juliet.

Kisah tersebut mendapat perhatian penduduk setempat dan Pertubuhan Alam Sekitar Malaysia (MNS) Cawangan Sarawak yang kemudiannya mengambil inisiatif untuk melancarkan petisyen agar kawasan tersebut diisytihar dan diwartakan sebagai kawasan Rizab Semulajadi. 

Dalam pada itu, kisah tersebut menjadikan tempat terkenal dan pengunjung yang datang boleh melihat bangkai Faridah di Intrepretation Centre dan juga boleh melakukan aktiviti lain seperti Hornbill Watch Guided Tour untuk menjejaki Jimmy dan burung enggang yang lain.

Sebelum pulang, kami diberi peluang untuk menanam pokok di kawasan rizab tersebut seperti pokok dabai, durian, engkeranji dan terap sebagai kenang-kenangan.

Lokasi menarik menikmati matahari terbenam di Miri

Aktiviti lain yang dilakukan sepanjang Jom! Kembara Miri ialah menikmati keindahan matahari terbenam di beberapa tempat yang sering menjadi tarikan di Miri. 

Antaranya ialah aras 24 Hotel Pullman Miri, Coco Cabana dan Canada Hill yang kesemuanya sudah pasti menyajikan pemandangan matahari terbenam yang sangat indah dan estetik dan ‘Instagrammable’.

Orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan ‘sunset’ di Coco Cabana Miri. Foto: Febbright James (TVS)
Orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan ‘sunset’ di Coco Cabana Miri. Foto: Febbright James (TVS)

Pengunjung yang datang ke sini sudah pasti akan merasai ketenangan dengan keindahan alam sambil melakukan aktiviti Riadah.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad  yang turut berkesempatan meluangkan masa bersama-sama media pada makan malam memaklumkan dengan usaha dan kerjasama semua pihak, Miri diyakini mampu menjadi antara kawasan utama tarikan pelancong.

Beliau turut menyeru rakyat di Sarawak khususnya warga Miri untuk terus mempromosikan bandar tersebut sebagai pusat pelancongan sama ada dari sudut budaya, ekopelancongan dan gastronomi.

Tambahnya Miri pernah merangkul Anugerah Bandar Lestari Terbaik Tourism Malaysia Gold Award.

Anugerah tersebut jelasnya  sedikit sebanyak membantu memperkenalkan Miri sebagai pusat pelancongan  dan berupaya menjadi pembakar semangat warga miri untuk terus memprosmosikan keunikan dan tarikan yang ada di Miri agar bandar raya itu terus dikunjungi pelancong. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan