Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan dana peribadi kepada Farhan Abdullah yang akan menyarung jersi pasukan U-12 NFDP ke Piala Garuda, Jakarta. Turut kelihatan, Mohamad Kipriwi, Zanawi Zen dan Zurriza Joberi. Foto: Saibi Gi (TVS)

Farhan mewakili Sarawak menyertai pasukan U-12 NFDP ke Piala Garuda di Jakarta

BySaibi Gi

KUCHING, 2 Julai: Harapan ibu, jurulatih dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa kini terletak di bahu Farhan Abdullah yang berusia 12 tahun.

Adik Farhan merupakan satu-satunya wakil Sarawak menyertai pasukan bawah 12 tahun (U-12) NFDP Malaysia ke Piala Garuda di Indonesia yang berlangsung pada minggu depan.

Datuk Abdullah Saidol, Farhan Abdullah, Mohamad Kipriwi, Zanawi Zen dan Zurriza Joberi pada sesi perjumpaan ringkas di Kuching pada Sabtu. Foto: Saibi Gi (TVS)

Ketika ditemui pada malam Sabtu, TVS berulang kali cuba merakamkan video tentang perasaannya kerana berjaya dipilih menyarung jersi NFDP, tetapi ia tidak bermakna Farhan gugup berhadapan pasukan lawan di padang.

Semangat Farhan yang membara untuk mengasah bakat dan pengalaman bertanding bersama rakan-rakan sepasukan dari negeri-negeri lain didorong oleh ibunya, Zurriza Joberi.

Farhan bersama NFDP sejak berumur enam tahun. Seperti kebanyakan rakan-rakan dia dalam NFDP, dorongan dan sokongan keluarga mereka adalah antara faktor terpenting dalam perkembangan bakat bola sepak mereka.

“Saya bangga dapat mewakili Malaysia dalam Piala Garuda di Jakarta. Doakan kejayaan saya. Saya berjanji akan mempersembahkan permainan terbaik,” kata Farhan ringkas kerana gugup berhadapan kamera.

Ketua Jurulatih Pusat NFDP Akademi Tunas Kuching, Mohamad Kipriwi berkata, beliau yakin anak didiknya akan menampilkan aksi cemerlang bagi membantu pasukan NFDP meraih kejayaan.

Mohamad berkata, semua jurulatih berbangga dengan pencapaian Farhan yang berasal dari Semariang, Kuching.

“Kami (jurulatih NFDP) berharap Farhan buat yang terbaik untuk Malaysia,” ujarnya.

Bersama Farhan menggalas misi NFDP ialah empat pemain dari Pulau Pinang, manakala dari Kelantan, Melaka, Perak, Perlis dan Selangor masing-masing diwakili dua pemain, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing seorang pemain.

Farhan yang diiringi Ketua NFDP Sarawak Zanawi Zen bertolak ke Kuala Lumpur hari ini untuk melapor diri di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

“Pemain berpotensi, prospek dan bijak,” kata Zanawi ringkas ketika ditanya mengenai kriteria pemilihan Farhan ke Piala Garuda.

Kecemerlangan Farhan dalam bola sepak juga diiktiraf apabila dipilih menyertai Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Pahang bagi sesi pengambilan 2024.

Pasukan U-12 NFDP yang diletakkan dalam kumpulan D dalam Piala Garuda akan bertolak ke Jakarta pada 5 Julai.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing merebut Piala Garuda yang berentap 6 hingga 9 Julai.

Selain NFDP, Malaysia turut diwakili pasukan Johor Darul Ta’zim, Best FC, A.T. Putrajaya dan Hijau Kuning FC.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan peribadinya dan daripada Presiden Manchester United Sarawak Club (MUSC) Datuk Dzulkarnaen Ahmad menerusi sesi perjumpaan ringkas pada Sabtu.

Abdullah berkata, Sarawak mampu melahirkan ramai pemain bola sepak yang mampu menyertai pasukan kebangsaan tetapi perlu diasah dan didorong seawal umur kanak-kanak.

Beliau memberi penghargaan kepada semua ibu bapa para pelatih muda NFDP yang sentiasa bersama program NFDP menyokong dan memberi dorongan kepada anak-anak mereka.

“Saya berharap dalam setiap program latihan seperti NFDP, ditempatkan juga seorang pendidik untuk memantau perkembangan pendidikan pelatih-pelatih ini.

“Selain pembangunan bakat sukan mereka, kita juga mahu memastikan tahap pendidikan mereka tidak tercicir,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan