Search
Close this search box.
Lebih 423,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di Semenanjung Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berikutan pengeboman berat Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas. Foto: AFP.

Lebih 423,000 hilang tempat tinggal di Gaza – PBB

GENEVA (Switzerland), 13 Okt: Lebih 423,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di Semenanjung Gaza, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berikutan pengeboman berat Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas.

Sehingga lewat semalam (Khamis), jumlah pelarian di Gaza meningkat sebanyak 84,444 orang menjadikan jumlah keseluruhan 423,378, kata agensi kemanusiaan PBB OCHA dalam satu kenyataan yang dihantar pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat ketika Israel menggempur Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan mengejut pada Sabtu, serangan paling dahsyat sejak negara itu dicipta pada 1948.

Lelaki bersenjata Hamas menyerbu bandar-bandar kecil, kibbutzim dan festival muzik di padang pasir, menyebabkan lebih 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 150 orang dijadikan tebusan.

Susulan itu, Israel bertindak membalas serangan secara bertalu-talu melalui udara dan pasukan tentera bersenjata meriam yang disasarkan ke kawasan kediaman yang menempatkan 2.3 juta penduduk sehingga meranapkan bangunan dan membunuh lebih 1,400 penduduk.

Israel juga dilaporkan telah bersedia melakukan serangan darat di wilayah Palestin.

“Pengeboman dahsyat Israel, dari udara, laut dan darat, berterusan hampir tanpa gangguan.

“Banyak bangunan kediaman di kawasan padat penduduk telah menjadi sasaran dan musnah dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kata OCHA dalam kemas kininya.

OCHA melaporkan lebih dua per tiga daripada (lebih 270,000) jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal terpaksa berlindung di bangunan sekolah kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin, UNRWA.

Selebihnya pula terpaksa berlindung di sekolah kendalian pihak berkuasa Palestin, rumah sanak saudara atau ahli keluarga terdekat, selain di bangunan-bangunan kerajaan.

Serangan terbaharu zionis Israel telah memusnahkan 752 lot kediaman dan bukan kediaman, merangkumi 2,835 unit kediaman, menurut kenyataan OCHA, memetik sumber Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza.

Lagi 1,800 unit kediaman dilaporkan rosak teruk dan tidak boleh diperbaiki apatah lagi untuk didiami.

Serangan Israel turut merosakkan sekurang-kurangnya 90 fasiliti pendidikan, merangkumi 20 buah sekolah kelolaan UNRWA dan 70 buah sekolah kendalian pihak berkuasa Palestin. Sekurang-kurangnya sebuah sekolah musnah sepenuhnya.

“Sebelas masjid menjadi sasaran dan musnah, manakala tujuh gereja dan masjid mengalami kerosakan,” kata OCHA.

Bekalan air dan kemudahan sanitasi turut terjejas. Kenyataan sama menyebut sejak konflik bermula, enam telaga air, tiga stesen pam air, satu kolam takungan, dan satu loji nyahgaram yang membekalkan keperluan lebih 1,100,000 orang penduduk rosak akibat serangan udara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan