Search
Close this search box.
Pekerja ladang sawit
Kerajaan Sarawak mengingatkan majikan bahawa selepas tempoh pelaksanaan RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI. Foto hiasan: Bernama

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 berakhir pada 31 Disember ini

ByDayu Adruce

KUCHING, 11 Dis: Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi meregularisasikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berada di Sarawak bakal berakhir 31 Disember 2023.

Justeru itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala menyeru majikan supaya mengambil peluang ini untuk meregularisasikan pekerja yang ditakrifkan sebagai PATI.

“Kerajaan Sarawak mengingatkan majikan bahawa selepas tempoh pelaksanaan RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI melalui operasi penguatkuasaan secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan, majikan yang didapati menggaji PATI akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang PATI yang diambil bekerja.

Jelasnya lagi, PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program RTK 2.0 perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja di Sarawak.

PATI yang layak untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

Sektor-sektor yang terlibat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 adalah Sektor Perkilangan, Pembinaan, Perladangan, Pertanian, Perkhidmatan, Perlombongan & Kuari dan Pembantu Rumah Asing.

Bagaimanapun, hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.

Tambahnya lagi, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini.

Bagi tatacara urusan pendaftaran di bawah Program RTK 2.0, majikan perlu memohon secara atas talian (online) melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my klik ke pautan: PORTAL REKALIBRASI.

Justeru itu, adalah wajar bagi majikan mengambil peluang untuk mendaftarkan pekerja PATI yang sedia ada dalam RTK 2.0 sebagai sumber tenaga kerja yang sah di semua sektor ekonomi yang terlibat. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan