Search
Close this search box.
Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan Program Semarak Syawal Agro MADANI Peringkat Negeri Sarawak di Medan Niaga Satok (MNS) hari ini. Foto Aziz Soleh (TVS)

Semarak Syawal Agro MADANI, mudahkan pengguna, bantu usahawan jana pendapatan

ByKimberly Dickson

KUCHING, 8 April: Program Semarak Syawal Agro MADANI Peringkat Negeri Sarawak memberi peluang kepada pengunjung dan pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri pada harga yang berpatutan, selain menyediakan kemudahan kepada usahawan kecil menjana pendapatan melalui aktiviti jualan menjelang musim sambutan Aidilfitri.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak telah membangunkan 119 outlet pemasaran di seluruh negeri yang terdiri daripada Medan Naga Satok (MNS), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Agrobazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar K-Shoppe.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, FAMA dengan kerjasama PPES Ternak dan N.6 Tupong telah menyediakan sebanyak 4,000 unit kupon promosi bagi pembelian daging dan ayam segar digunakan sepanjang 2 hari program ini bermula hari ini sehingga 9 April 2024.

“Kupon dengan nilai potongan RM5 bagi setiap pembelian daging dan RM3 bagi setiap pembelian ayam segar. Terdapat juga jualan Kombo MADANI dengan tawaran harga serendah RM10 bagi jualan produk makanan seperti telur, bawang, kubis, produk Agromas, ikan segar, sayur-sayuran dan produk industri asas tani,” katanya ketika merasmikan program itu di Medan Niaga Satok (MNS) hari ini.

Beliau turut berkongsi bahawa setakat ini tidak banyak aduan yang diterima olehnya berkenaan dengan kenaikan harga barang yang tidak munasabah.

“Pusat Khidmat saya juga bukan sahaja menerima aduan seperti ini tetapi pelbagai lagi aduan lain berkenaan dengan hal ehwal masyarakat setiap hari.

“Jika ada sesuatu yang perlu diutarakan atau sesuatu perkara yang merunsingkan masyarakat, aduan akan dibuat dan kita akan menyelidik, menyiasat serta akan menyampaikan aduan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” jelasnya.

Amran Khan (kiri) dan Zulkiflee Taha (kanan) ketika ditemui TVS. Foto Aziz Soleh (TVS)

Peniaga daging yang telah meniaga selama 30 tahun, Amran Khan, 54, berkata, sebagai peniaga mereka tidak boleh menambah beban rakyat dengan menaikkan harga sesuka hati.

“Harga yang stabil dan tidak berubah- ubah dapat menyenangkan para pembeli dan kita bersyukur kerana telah ada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat supaya boleh membeli daging dengan harga diskaun sebanyak RM5,” ujarnya.

Peniaga lain yang merupakan pesara tentera, Zulkiflee Taha, 46, menyatakan dia menjual ayam dengan harga biasa walaupun menjelang musim perayaan bagi membantu orang awam untuk berbelanja dengan cermat dan merasa bangga kerana dapat membantu antara satu sama lain.

 

Suraya (kiri) dan Nurshafarina Amimi bersama ibunya Saptuyah Seri (kanan) ketika ditemui TVS. Foto Aziz Soleh (TVS)

Pelanggan, Suraya, 46, berkata, Program Agro Madani ini sangat membantu terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan dan berharap akan ada lagi program seperti itu pada masa akan datang.

Nurshafarina Amimi, 28, dan ibunya Saptuyah Seri, 54, menyatakan bahawa program itu dapat mengurangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat dan berhasrat agar program ini dapat diteruskan setiap masa untuk mengurangkan beban rakyat Sarawak.

Untuk rekod, projek itu telah menyediakan 1,004 lot bagi semua komponen utama dengan jumlah peserta seramai 923 orang merangkumi Blok Kekal, Pasar Minggu, Pasar Borong dan Benteng Satok. la beroperasi setiap hari sepanjang tahun dan telah mencatat nilai jualan sebanyak RM62 juta pada tahun 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan