Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang daripada Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad (kiri) yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. Foto TVS

Tembakan di KLIA: Polis Pulau Pinang pertingkat kawalan

GEORGE TOWN, 15 April: Polis Pulau Pinang akan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk mengadakan sekatan jalan raya dalam usaha membantu mengesan suspek yang melepaskan tembakan sehingga terkena seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pegawainya dalam mempertingkatkan usaha memburu suspek Hafizul Harawi, 38, yang dikatakan telah melarikan diri ke Utara Semenanjung.

“Mungkin kita akan tingkatkan dari segi kawalan atau sekatan jalan raya dan juga tingkatkan dari segi risikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang yang disaksikan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hamzah Ahmad.

Mohd Alwi yang sebelum itu Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal peribadi kepada seorang wanita cedera selepas terkena tembakan pada perut semasa mempertahankan majikannya itu di Balai Ketibaan di tingkat tiga KLIA.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, suspek dikatakan menyasarkan isterinya yang sedang dalam proses perceraian sebelum melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, operasi mengesan suspek yang mempunyai tiga rekod lampau itu sedang giat dijalankan dan dipercayai melarikan diri ke Utara Semenanjung.

Polis turut mengedarkan gambar suspek di semua pintu masuk negara di Utara Semenanjung dan pihak berkuasa negara jiran. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan