Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika penggulungan kementeriannya di Sidang DUN Sarawak hari ini. Foto, TVS.

DUN Sarawak: 908,460 hektar tanah diwarta sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian)

BySalasiah Safian

KUCHING, 15 Mei: Program pengukuran tanah hak adat bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu yang mula dilaksanakan pada 2010 oleh Kerajaan Sarawak telah berjaya mengukur seluas 1,145 465 hektar tanah secara perimeter.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu pula, tanah seluas 908 460 hektar telah diwartawan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata, pewartaan untuk baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan.

“Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat. (Bagi) kawasan yang terlibat dengan kes mahkamah, ia hanya akan diukur setelah kes tersebut selesai atau pihak yang terlibat menarik balik tuntutan mereka di mahkamah dan membuat permohonan baharu untuk menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Berkenaan inisiatif itu juga, Awang Tengah memaklumkan, sejak 2017 fokus pengukuran juga ditumpukan kepada lot-lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.

“Sehingga 30 April 2024, sebanyak 83,968 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 102,636 hektar atau 253,613 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini kata Awang Tengah, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar.

“Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan